ALOR SETAR - Nama penyanyi Kuwait, Humood AlKhauder secara tiba-tiba menjadi sebutan ramai dan
kegilaan gadis Malaysia apabila video rakaman aksinya menyanyikan lagu
berjudul Kun Anta menjadi viral di media sosial.
Video yang dimuat naik kira-kira dua bulan lalu itu sekali gus mengangkat namanya Humood AlKhauder di Malaysia.
“Ramai yang suka dengan lagu Kun Anta hingga menjadi viral dan tambah
mengejutkan saya, ramai yang menonton dan ‘like’ video saya
menyanyikannya di dalam kereta.
“Sebenarnya, itu bukan pertama kali saya rakam video dari dalam
kereta tetapi itu video saya dalam kereta yang pertama menjadi viral,”
katanya ketika sidang media Konsert Malam Inspirasi sempena Festival
Karyaone Fita UiTM 2015, baru-baru ini
Pada masa yang sama, jejaka Kuwait ini meluahkan kesyukurannya
apabila lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa termasuk ramai
selebriti Malaysia seperti Neelofa.
“Saya tidak banyak tahu tentang muzik Malaysia tapi saya kenal
penyanyi seperti kumpulan Raihan, Rabbani dan Yuna. Saya ada dengar
lagu-lagu mereka.
“Saya juga tahu Neelofa tetapi belum pernah berjumpa lagi dengannya.
Saya tahu namanya sejak saya tonton parodi video yang dilakukannya
menerusi Instagram dan saya suka parodi itu,” katanya.
Sementara itu, Humood yang muncul dalam siaran langsung rancangan
Meletop di Astro Ria malam tadi, mendedahkan kepada Neelofa dia suka
akan video tersebut.
“Pada awalnya saya terkejut, video yang diparodikan gadis bernama Neelofa mendapat puluhan ribu ‘likes’.
“Melihat followers Neelofa yang berjuta, barulah saya sedar parodi Kun Anta itu dinyanyikan oleh selebriti wanita terkenal di Malaysia,” kata Humood kepada Neelofa.
Untuk maklumat anda, Hummod akan mengadakan konsert di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam secara ‘live’ pertama kalinya di hadapan peminat tanah air pada 12 Jun ini.
Dalam konsert tersebut, Humood bakal bergandingan bersama penyanyi terkenal, Amy Search dan Lah Ahmad.