Ibu Bapa Di Kedah Diajak Selami Hati Anak Istimewa

Gambar Hiasan: kanak-kanak istimewa dekat dihati isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor
SUNGAI PETANI - Ibu bapa mahupun penjaga orang kurang upaya (OKU) disarankan menyelami hati golongan itu agar tidak berlaku pengabaian mahupun penderaan seperti kes yang dilaporkan sebelum ini.

Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Sik, Nurul Huda Mat Isa@Salleh berkata, kegagalan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya sebagai pelindung menyelami hati golongan itu menyebabkan mereka tersisih sehingga perkara lebih serius berlaku seperti penderaan.

Menurutnya, disebabkan kurang pemahaman atau pendedahan berkenaan pengurusan OKU, sebilangan kecil ibu bapa atau penjaga merasakan anak OKU merupakan satu bebanan.

“Pengabaian juga menyebabkan OKU tiada jaminan masa depan sekali gus menafikan hak mereka untuk terus mendapatkan keistimewaan yang sepatutnya diperoleh,” katanya ketika hadir ke Karisma Pikom Care OKU ‘Cakna Orang Kurang Upaya’, baru-baru ini.

Beliau yang juga Penyelaras Karisma Pikom Care OKU berkata, pihaknya tidak mahu ibu bapa atau penjaga terus-terusan merasakan anak OKU tiada kebaikan sebaliknya membantu membentuk kumpulan sokongan bagi meningkatkan serta mengekalkan stamina sokongan psikologi.

“Kita mahu mereka yang dekat dengan OKU menyelami naluri OKU yang sebenar, selain didedahkan tentang kebaikan dan ganjaran kepada yang mempunyai anak OKU, mereka juga diharapkan dapat memberi layanan terbaik buat golongan itu,” katanya.

Turut serta merasmikan kursus, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah, Saiful Nizam Mhd Nor.

Menurut Nurul Huda, Karisma Pikom Care OKU dicetuskan selepas berlakunya isu semasa membabitkan pengabaian dan penderaan mental terhadap remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang menggemparkan negara tahun lalu.

Di samping memberi pendedahan tentang pengurusan OKU dan hala tuju golongan itu, satu segmen turut menampilkan personaliti OKU yang merupakan Pembantu Tadbir PKMD Kuala Muda, Khairunnisa’ Johari serta ibunya, Nooreha Hashim berkongsi pengalaman dan kejayaan.

Pegawai Psikologi Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, Mazita Ahmad turut hadir sebagai penceramah.

Sumber: Sinar Harian