Dominique Cottrez, 51, ketika dihadapkan di mahkamah di Douai, utara Perancis, menghadapi tuduhan membunuh lapan bayinya. - Foto AP |
Paris – Seorang wanita mula dibicarakan hari ini di mahkamah di
Douai, selatan Perancis, dengan dakwaan mencekik lapan anaknya yang baru
dilahirkan hingga mati kerana bimbang bayi terbabit adalah hasil
hubungan sumbang dengan bapanya.
Dominique Cottrez, 51, menghadapi berapa tuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup.
Kes itu menggemparkan Perancis apabila mayat bayi terbabit ditemui di kampung asal Cottrez pada 2010.
Wanita itu yang mempunyai dua anak perempuan, memberitahu polis
selama lebih satu dekad dia hamil beberapa kali dan kemudian membunuh
anak yang dilahirkan itu kerana bimbang ia hasil hubungan dengan
bapanya.
Tubuh Cottrez yang gemuk membolehkannya menyorok kehamilannya yang
tidak disedari suami, anak, jiran, rakan serta doktor hospital
berhampiran. Pakar forensik, psikiatrik, polis dan saksi, termasuk
suami, anak dan saudara-mara wanita itu akan memberi keterangan.
Cottrez yang bekerja sebagai pembantu jururawat, memberitahu polis
dia dirogol bapanya ketika berusia lapan tahun dan kejadian itu berulang
banyak kali sehingga dia remaja.
Selepas itu mereka menjalin hubungan sumbang mahram termasuk selepas
dia berkahwin dan memberitahu lebih menyintai bapanya berbanding suami.
Bapanya meninggal dunia pada 2007.
Antara saksi yang memberi keterangan hari ini ialah Leonard Meriaux
yang memberi rumah keluarga Cottrez serta menemui mayat pertama di
halaman rumah berkenaan pada 2010. Polis kemudian menemui tujuh lagi
mayat, termasuk enam dalam garaj. – AP