Ibu Krew MT Orkim Harmony Dari Kuala Kedah Tak Sabar Nak Jumpa Anak

Habibah melihat gambar terakhir yang dirakam Muhammad Aiman bersama rakannya sebelum mengikuti pelayaran.
KUALA KEDAH – “Makcik tak sabar nak jumpa dia,” demikian luahan ibu kepada Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20, yang merupakan seorang anak kapal MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang pada 11 Jun lalu.

Habibah Baharom, 43, bersyukur kerana ALLAH memudahkan segala urusan pasukan mencari dan menyelamat anak kapal terbabit setelah mereka ditemui dan dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

“Makcik seronok sangat bila dapat tahu anak selamat dan akan pulang tidak lama lagi.

“Makcik tak sabar nak jumpa dia, nak tengok sendiri bagaimana keadaan dia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya dekat Taman Seri Marina Fasa Dua, di sini, semalam.

Menurutnya, kepulangan anak kedua daripada tiga beradik itu amat dinantikan mereka sekeluarga setelah tidak berjumpa lebih 20 hari.

“Makcik dapat tahu mengenai pembebasan mereka daripada syarikat kapal terbabit awal pagi tadi (semalam) melalui WhatsApp.

“Kami sekeluarga nak ucap terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat semua anak kapal sehingga berjaya,” katanya.

Muhammad Aiman merupakan pelajar semester lima jurusan Diploma Kejuruteraan Perkapalan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Selain berminat dalam bidang perkapalan, dia juga merupakan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50.

Habibah berkata, keluarganya akan menganjurkan majlis doa selamat setelah urusan menyambut kepulangan anaknya itu di Pelabuhan Kuantan, Pahang selesai.

Sumber: Sinar Harian