IJN Mohon Sumbangan Biaya Bedah Pesakit Jantung

Institut Jantung Negara (IJN)
KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) memohon sumbangan dana daripada individu dan badan korporat untuk pihaknya membiayai pembedahan ke atas pesakit jantung.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata ia bagi meringankan beban pesakit yang tidak mampu membayar kos rawatan.

“Sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan IJN manakala IJN sendiri akan memberikan 1 sen daripada RM1 pendapatan kami untuk membantu pembiayaan bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa,” katanya pada sidang media ‘Maybank Islamic Memperkenalkan Siri Jelajah Berbasikal ke Seluruh Negara ‘Cycle Save a Child’s Heart 2.0′ di sini Rabu.

Beliau berkata dana diperlukan kerana ramai pesakit tidak mampu membayar kos pembedahan yang dianggarkan mencecah sehingga RM40,000 atau lebih jika melibatkan pembedahan yang kompleks.

Terdapat 1,200 kes pembedahan membabitkan kanak-kanak daripada jumlah keseluruhan 4,000 kes pembedahan di IJN bagi tempoh Januari 2014 hingga Januari 2015, katanya.

Maybank Islamic Berhad dengan kerjasama IJN akan menganjurkan aktiviti berbasikal yang merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung di negara ini dan Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Muzaffar Hisham berkata tujuan aktiviti tersebut adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap keperluan membantu pesakit jantung terutama kanak-kanak.

“Pihak kami menganggarkan kutipan sebanyak RM100,000 akan berjaya dikumpul dengan sasaran seramai 2,000 peserta mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Yayasan IJN untuk membantu pesakit jantung kanak-kanak.

Siri Jelajah edisi kedua pada 2 Ogos itu akan bermula di Padang Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.
Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu 10 km (VIP Ride), 30 km (Fun Ride) dan 120 km (Endurance Ride). – BERNAMA