ALOR SETAR - Di zaman ini, memang merupakan satu pemandangan yang biasa sekiranya
ternampak kumpulan yang beramai-ramai menjamu selera bersama tetapi mata masing-masing "melekat" di telefon
pintar dan gajet canggih berbanding saling
berbual-bual di antara satu sama lain.
Namun, menerusi satu perkongsian penulisan dari Jeshua Choong
(Unintentionally), perasaan terharu amat dirasai apabila lelaki berbangsi Cina itu berkongsi cerita mengenai seorang nenek yang berkumpul dengan ahli
keluarganya tetapi masih tetap merasakan dirinya berseorangan.
Kenapa tersentuh dengan cerita Jeshua? Sila baca tulisan Jeshua di bawah yang telah kami terjemahkan di dalam bahasa Melayu supaya lebih mudah difahami oleh semua pihak.
“Terdapat seorang nenek yang duduk menjamu selera
bersama-sama dengan ahli keluarganya tetapi dalam masa yang sama dia
tetap rasa berseorangan.
“Setiap dari mereka kecuali nenek itu kelihatan sibuk dengan ipad dan telefon masing-masing sejak tadi.
“Nenek itu turut cuba-cuba berbuat ‘sibuk’ dengan selalu
bertukar kedudukannya, menguap, termenung dan kadang-kala dia tersenyum
melihat telatah cucunya yang ketawa melihat video daripada tabletnya.
“Menerusi pemerhatian, tiada sebarang perbualan yang
diucapkan oleh mereka sejak mula-mula masuk ke kedai. Pemandangan
seperti ini seakan sudah menjadi satu perkara biasa dan diterima oleh
semua orang,” kongsi Jeshua menerusi laman Facebook.
Menurut Jeshua, dia berkongsi kisah itu hanyalah sekadar renungan buat
dirinya dan kita semua di luar sana agar sentiasa menghargai individu
yang kita sayang selagi mereka masih hidup di muka bumi ini.
Pengajarannya di sini, tinggal-tinggalkanlah sekejap daripada dunia alam
maya, beri perhatian terhadap ahli keluarga yang sememangnya
mengharapkan masa berkualiti anda dihabiskan sebaik mungkin dengan
mereka.- Kedahnews.com