Ilmu Perkahwinan Kita Sudah Cukup Untuk Bergelar Suami Isteri?

HIDUP sebagai suami isteri tanpa ikatan perkahwinan sangat merugikan pasangan sama ada Islam mahupun bukan Islam. Ini kerana perkahwinan memberi pasangan status dan hak kerana ia adalah satu ikatan yang diiktiraf oleh undang-undang.

Hubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak diiktiraf undang-undang bukan sahaja merupakan dosa mengikut Islam dan agama-agama lain, ia juga tidak memanjangkan hak kepada anak-anak yang merupakan hasil perhubungan tersebut.

Dalam perkahwinan Islam, pasangan suami isteri mempunyai hak dan tanggungjawab yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dalam rumah tangga Islam, suami sebagai ketua rumah tangga, mempunyai tanggungjawab yang berat di mana ia perlu mendidik isterinya untuk menjadi isteri yang solehah.

Hanya isteri yang solehah dapat mendidik anak-anak daripada segi lahiriah dan kerohanian dengan sempurna. Jika dari awal perkahwinan, suami tidak menjalankan tugas utama ini, rumah tangga tersebut akan bermula dengan kepincangan kerana masing-masing tidak menjalankan tanggungjawab.

Yang menjadi mangsa adalah isteri dan anak-anak. Jika sejak awal berkahwin, suami tidak pernah solat, tidak pernah mengajar isterinya solat dan tidak pernah bersolat berjemaah, maka pasangan akan memulakan kehidupan rumah tangga dengan kemungkaran Allah.

Anak-anak hasil daripada perkahwinan ini juga tidak akan mengenal Allah kerana ibu bapa mereka tidak pernah mengenalkan mereka kepada-Nya.

Apabila lahir, ia tidak diazankan, tidak dicukur rambutnya, tidak diakikahkan. Anak ini walaupun lahir daripada ibu bapa yang Islam namun mereka tidak menjalani penghidupan sebagai seorang Islam. Mungkin ramai yang menjangka di Malaysia, tidak mungkin ada keluarga begini. Sebenarnya ada.

Laksana tanggungjawab

Memang kita selalu dengar yang suami adalah ketua rumah tangga dan isteri perlu dan mesti taat kepada suami. Namun menjadi ketua bukan sekadar dilayan makan minumnya seperti raja dan semua perkara perlu mendapat persetujuan.


Suami mesti berperanan sebagai ketua dan sebagai ketua dia mesti mendidik isteri dan anak-anak untuk mengenal Allah SWT dan menghormati suami sebagai ketua keluarga.

Dalam sebuah keluarga Islam kebanyakan keputusan dibuat secara musyawarah dan persetujuan. Tiada siapa yang berkuasa veto kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan dan perselisihan.

Rumah tangga yang bahagia adalah kerana setiap orang tahu tanggungjawab dan melaksanakannya dengan betul. Jika seorang lelaki yang tidak berilmu berkahwin, dia sebolehnya membawa isterinya ke majlis ilmu agar dia faham tanggungjawab sebagai isteri.

Jika kedua-dua tidak pernah solat, maka perkara terbaik ialah mempelajari cara bersuci daripada hadas, berwuduk dan solat. Jika tidak boleh membaca al-Quran, ajarlah pasangan menghafal ayat lazim supaya dia boleh solat.

Jika tidak mampu, carikan guru, ajar sendiri. Hari ini semua perkara perlu dibayar. Masa untuk mencari orang yang lapar membuat amal jariah sudah berlalu. Jadi jika panggil ustaz ke rumah kosnya lebih tinggi dan seeloknya pergi ke majlis ilmu yang percuma atau membaca sendiri.

Ilmu perkahwinan bukan sekadar boleh menghafal doa untuk mengadakan hubungan seksual di malam pertama tetapi meliputi ilmu psikologi, ilmu kesihatan, ilmu kewangan dan sebagainya. Suami jika tidak pernah menjadi pemimpin di sekolah, dalam masyarakat atau semasa belajar di universiti, tidak akan tahu apakah itu kepimpinan dalam keluarga.

Jika suami tidak pernah memimpin, ia tidak akan tahu apa yang hendak dipimpin. Kepimpinan dalam keluarga lebih berunsur kepimpinan melalui teladan. Sikap suami akan menjadi teladan, terutama kepada anak-anak.

Sumber: Utusan