Imigresen Kedah Berkas PATI Di Kilang Proses Ayam Tiada Sijil Halal

ALOR SETAR - Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dalam ‘Ops Mahir’ yang dijalankan di sebuah kilang memproses ayam di sebuah kampung di Tebengau, Kuala Kedah bermula jam 7.40 pagi kelmarin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, sembilan pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasa diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Yusrazif Wan Yusoh memeriksa 22 warga asing pelbagai warganegara dan 19 warga tempatan.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dilakukan, seramai 22 Pati terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita warga Thailand serta seorang wanita warga Indonesia ditangkap.

“Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan antara 15 hingga 30 tahun. Semasa operasi berkenaan juga seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun juga ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mohamad Yusri berkata, siasatan awal mendapati warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Pegawai penguat kuasa Imigresen mengambil maklumat.
“Antaranya seorang wanita warga Indonesia ditangkap kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Manakala seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana tinggal lebih masa dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama.

“Selebihnya 18 lelaki dan dua wanita Thailand ditangkap untuk disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang lelaki tempatan dipercayai majikan didapati melindungi Pati pula akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002).

“Pemeriksaan lanjut juga turut mendapati premis berkenaan tiada sijil perakuan halal dan tiada sijil perakuan sembelihan dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

“Kita serahkan maklumat itu kepada Jaik untuk membolehkan mereka mengambil tindakan terhadap premis terbabit,” katanya.

Sumber: Sinar Harian