Ini Perpustakaan Paling Sunyi Di Dunia?

Berehat di tepi pantai sambil membawa buku untuk dibaca sudah lama menjadi aktiviti masa lapang yang paling disukai pelancong.

Kini arkitek di China membawa konsep itu maju setapak lagi dengan membina sebuah perpustakaan di tepi pantai terpencil di bandar Qinhuangdao.

Perpustakaan Awam Sanlian itu dianggap perpustakaan paling sunyi kerana pelawat perlu berjalan untuk ke sana kerana tiada kemudahan jalan raya disediakan.


Selain keunikan reka bentuknya, perpustakaan itu terletak hanya beberapa meter dari gigi air.

Perpustakaan itu baru dibuka bulan ini tetapi semakin popular selepas ramai pengunjung dari seluruh negara datang untuk meminjam buku.

Seorang pengunjung dari Beijing, Zhang berkata, dia datang ke perpustakaan itu selepas mendapat tahu ia sudah dibuka.

“Saya pereka bunyi dan bekerja dalam bidang animasi dan dokumentari.

“Tempat ini amat sunyi dan saya berharap mendapat inspirasi di sini,” katanya.

Dong Gong adalah arkitek yang bertanggungjawab di sebalik rekaan unik itu dan satu-satunya binaan menghadap laut di Changli.

Katanya, dia terpegun dengan ketenangan pantai itu tetapi pada masa yang sama merasai sesuatu yang kuat dan mendapat inspirasi daripada batu di lokasi berkenaan.


Buku diletakkan di tingkat satu dan dua perpustakaan itu dan pengunjung boleh membaca dengan tenang sambil melihat pemandangan laut.

Menurut Dong, dia mahu memanfaatkan sepenuhnya cahaya semula jadi dengan memasang banyak bumbung kaca dan tiub cahaya.

Kesan kemuncak rekaan itu boleh dilihat pada jam 1.30 petang setiap hari apabila cahaya matahari yang masuk ke bangunan menghasilkan bayang yang menakjubkan.

Air dan bekalan elektrik disalurkan ke bahagian bawah perpustakaan dan dinding bangunan itu juga kalis lembap bagi melindunginya daripada air laut. - Agensi