Islam Anjur Ramaikan Umatnya, Mengapa Perlu Disangkal Saranan Rohani?

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim
Agak menarik untuk diulas mengenai kenyataan pihak yang membuta tuli tanpa berfikir panjang, membidas saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menggalakkan pasangan berkahwin menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara.

Pihak berkenaan berhujah kononnya setiap pasangan di negara ini perlu berfikir panjang untuk meramaikan anak ekoran kos sara hidup yang tinggi di mana anak-anak yang ramai akan membebankan kembali ibu bapa mereka.

Penulis tidak pasti dari mana idea pihak berkenaan terbit untuk membidas saranan meramaikan anak, namun itulah diperkatakan sejak semalam. Mereka seolah melarang pasangan untuk meramaikan anak.

Perkara pertama yang terdetik dihati penulis adalah bagaimana gembiranya Rasulullah SAW apabila umatnya mempunyai anak yang ramai di mana ia sekaligus meramaikan umat Muhammad yang akan beribadah menyembah Allah SWT di muka bumi ini.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:
“Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai.”
Jelaslah berdasarkan hadis berkenaan bahawa Islam sangat menggalakkan kita untuk memiliki anak yang ramai, bukan? Jadi, mengapa perlu berfikir panjang untuk memiliki anak yang ramai?

Sekiranya ada yang terlintas di hati berkenaan persepsi kononnya mempunyai bilangan anak yang ramai akan membebankan ibu bapa dengan kos sara hidup yang tinggi, ketahuilah bahawa rezeki bagi setiap hamba itu adalah terletak di tangan Allah SWT.

Tidak mengira sama ada beragama Islam atau tidak, rezeki itu terletak di tangan Tuhan dan Dialah yang menentukannya. Percaya atau tidak terhadap kuasa Allah SWT yang memberi rezeki itu akan menentukan sejauh mana iman kita. 


Soalnya, apakah kita percaya dan beriman bahawa Allah itu menetapkan rezeki kita, keluarga dan anak-anak kita? Jika kurang yakin, sila baca dan fahamkan firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar." (Surah al-Isra’, ayat 31)
Masih ada lagi yang beranggapan kononnya anak yang ramai itu membebankan?

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kehadiran anak adalah adalah penawar kepada ibu bapanya terutamanya pabila usia emas kelak. Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya.

Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28):
"Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala yang besar."
Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Ingatlah bahawa urusan rezeki adalah ketetapan Tuhan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka.

Sekiranya masyarakat Islam pada hari ini memahami dan berpegang teguh dengan konsep qada’ dan qadar, pastinya mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh redha.

Oleh itu, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau menambahkan satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa.

Selain itu, tahukah kita mengapa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru kita meramaikan lagi anak-anak dan membesarkan jumlah bilangan keluarga?

Sedar tak kita dalam kita memperlekehkan saranan itu, beliau dan kerajaan sebenarnya tidak bercakap kosong atau sekadar melontarkan pandangan membabi-buta begitu saja. Saranan beliau sebenarnya disertai dengan beberapa inisiatif tertentu.

Antaranya, kerajaan mengadakan kemudahan rawatan Klinik Kesuburan sekiranya pasangan itu tidak boleh melahirkan anak. Galakan lain diberikan termasuk cuti bersalin kepada suami ditambah kepada tujuh hari berbanding tiga hari sebelum ini bagi memberi peluang menjaga anak selain waktu kerja anjal dan cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari.

Dengan waktu kerja anjal berkenaan, wanita di negara ini boleh bekerja dari rumah atau mula kerja sedikit lewat untuk menguruskan keluarga.

Kerajaan juga memberi galakan dalam bentuk geran kepada jabatan untuk menubuhkan taska atau pusat jagaan di tempat kerja manakala sektor swasta akan menikmati 10 peratus pengecualian cukai.
Selain itu, syarikat juga dikecualikan 100 peratus cukai perbelanjaan bagi mengadakan program seperti hari keluarga.

Jika masih lagi ragu dengan dasar dan saranan Rohani supaya meramaikan anak, rakyat Malaysia yang bertuah boleh merujuk fakta yang menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk di negara ini diunjurkan menurun bagi tempoh 2020 hingga 2035 berikutan kemerosotan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) daripada 2.1 anak kepada 1.91.

Dalam erti kata lain, ia adalah bersamaan dengan paras penggantian. Paras penggantian merujuk kepada bilangan anak yang dilahirkan hanya cukup untuk menggantikan ibu bapanya sahaja.

Pada paras penggantian ini, negara kita mengalami pertumbuhan penduduk sifar! Penurunan KKJ ini juga akan menyebabkan Malaysia diunjur menjadi negara tua pada 2035 apabila 15 peratus daripada populasi penduduknya adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Jadi, sebelum kita membangkang membuta-tuli saranan kerajaan itu, kita perlulah fikir semasak-masaknya tentang sebab-sebab yang munasabah dan penting berhubung dengan pembesaran saiz kependudukan rakyat di negara ini.


Sedarkah kita bahawa pertumbuhan penduduk adalah asas penting bagi perkembangan perindustrian dan pengwujudan pasaran untuk barang keluaran tempatan? Hanya mereka yang malas berfikir sahaja yang tidak peduli tentang kepentingan tersebut.

Anak-anak kita bukan sahaja aset penting kepada keluarga malah merupakan aset negara pada masa depan. Ini kerana kecemerlangan mereka mampu membawa perubahan dan kemajuan negara kita pada masa depan.

Negara sudah tentu memerlukan modal insan cemerlang sebagai pewaris dalam usaha memastikan kesinambungan kemajuan. Dengan jumlah penduduk yang ramai, negara dapat menyediakan tenaga kerja, meningkatkan daya pengeluaran, meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengukuhkan kedudukan politik serta keselamatan.

Rasionalnya, untuk mencapai matlamat kependudukan adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mewujudkan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran negara.

Harus juga diingat bahawa pertumbuhan penduduk adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi seperti mana yang disebut tadi.

Dasar ini sebenarnya memperlihatkan satu perubahan pemikiran yang penting dan radikal mengenai kependudukan iaitu daripada dasar pertumbuhan yang berbentuk ‘restrictive’ kepada yang berbentuk ‘promotive’.

Dasar seperti ini diharap memelihara kepentingan jangka panjang negara memandangkan hakikat bahawa rakyat bukanlah merupakan ‘tanggungan’ negara tetapi sebaliknya dianggap sebagai harta-harta produktif yang penuh berpotensi.

Justeru itu, penulis menyarankan supaya kita janganlah cepat benar memberi tafsiran negatif kepada orang lain, tidak kisahlah sama ada si polan itu Menteri di Putrajaya atau hanya nelayan di Kuala Kedah.

Paling utama, kita kaji dan selidik dulu sebelum memberi kritikan dan cemuhan. Kita perlu lihat sesuatu isu dalam ruang lingkup yang lebih luas dan bukannya disempitkan dek pemikiran kita yang mempunyai agenda itu, kan? Wallahu'alam. - Kedahnews.com