Isu 1MDB: Dua Portal Mungkin Disiasat KDN

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada portal dan akhbar mingguan perniagaan di Malaysia yang memutar belit fakta berkenaan syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amaran berkenaan dikeluarkan ekoran tertangkapnya seorang bekas pegawai Syarikat PetroSaudi, Xavier Andre Justo, yang kononnya dipetik sebagai "sumber yang benar" dan "boleh dipercayai" ternyata dusta dan tidak benar sama sekali.

Menurut Zahid, kementeriannya mendapati informasi yang diperoleh dari warga Switzerland yang telah ditahan pihak berkuasa Thailand pada Isnin lalu adalah palsu, telah diubah suai dan telah diperolehi secara tidak sah.

“Banyak maklumat diperolehi secara tidak benar dan faktanya juga diuli untuk memperlihatkan seolah-olah ada perbuatan di luar tataetika urus niaga dan perundangan.

“Menguli berita dan fakta ini jelas daripada kajian setakat ini ada niat tersirat yang buruk dilakukan pihak berkenaan.

“Ia dimuat turun dan dianalisis akhbar mingguan perniagaan di Malaysia dan portal berita atas talian,” ujar beliau dalam satu sidang media semalam.

Susulan kes berkenaan, Zahid kini sedang mempertimbang untuk mengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan.

“KDN dimaklumkan bahawa Xavier Andrea Gusto merupakan individu yang menyalurkan maklumat yang tidak tepat kepada blog politik Sarawak Report sehingga mencetuskan tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, akhbar The Edge juga adalah antara akhbar mingguan yang dimaksudkan menyebar maklumat tidak benar itu.

Zahid turut menjelaskan bahawa siasatan akan dibuat terlebih dahulu bagi mengenal pasti akta yang sesuai untuk pendakwaan, namun bagi penerbitan The Edge, Akta Penerbitan dan Percetakkan (1984) akan digunakan. -Kedahnews.com