Isu "Cikgu Suruh Minum Air Kencing" Cuma Salah Faham Gurauan

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain
ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain menjelaskan bahawa isu yang mengatakan kononnya seorang guru meminta anak muridnya minum air kencing sendiri merupakan satu insiden salah faham.

Beliau dan pihak polis menjelaskan bahawa guru yang dikatakan meminta anak muridnya minum air kencing sendiri sebenarnya hanyalah bergurau dan tidak serius memaksudkan kata-katanya.

Tajul Urus yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Kedah menjelaskan bahawa guru terbabit hanya berniat meminta murid-murid bukan beragam Islam supaya menghormati murid beragama Islam dan mengelak minum di depan mereka.

Katanya, guru berkenaan kemudian berkata mereka boleh minum di luar kelas dan berseloroh jika minum air paip, “tapi jangan minum air kencing kamu pula” di dalam tandas sekolah.

“Ucapan dan pesanan ini telah di salah faham oleh segelintir murid dan menjadi isu. Laporan polis telah dibuat oleh waris.

“Guru terbabit juga telah menerima ugutan melalui panggilan telefon sekolah dan telah membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataannya semalam.


Selain itu, Tajul Urus juga memaklumkan bahawa pihak sekolah sudah pun membuat perhimpunan khas dengan semua murid pada pagi semalam dan memperjelaskan kenyataan guru terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Khalil Ariffin berkata kes itu cuma salah faham dan kes berkenaan difahamkan sudah selesai dengan baik.

“Dia melawak. Dia cakap siapa nak minum juga pergi dalam tandas. Dia melawak saja, bukan kata serius,” katanya sambil berkata ia disalah tafsir. -Kedahnews.com