Isu MARA: Najib Kecewa Sikap Portal Putar Belit


Semalam, nampaknya portal propembangkang mungkin terpaksa cari akal selepas "kantoi" dimalukan laporan berita dari Thailand mengenai kisah sebenar pembohongan dalam isu 1MDB dengan firma carigali minyak PetroSaudi.

Jangkaan itu ternyata benar apabila tidak lama selepas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa bagi sidang akhbar di ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur mengenai isu dakwaan pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Dua portal propembangkang terus buat laporan atas tajuk yang menggambarkan kononnya Perdana Menteri sendiri meluluskan pembelian apartmen dengan harga mahal sebanyak lebih RM13 juta oleh MARA Inc.

Asal ceritanya berdasarkan laporan akhbar The Age di Australia bahawa harga blok apartmen yang hendak dijadikan asrama pelajar itu dibeli pada harga RM65 juta walhal ia mendakwa harga pasaran hanya RM52 juta.

Sebaliknya kebanyakan media tempatan lebih tumpu laporan kepada soal kenyataan Pengerusi Mara itu mengenai Mara Inc. diberi tempoh sehingga 7 hari untuk kemukakan laporan bertulis bagi menjelaskan pasal dakwaan itu.


Seperti dijangka, pada sebelah petang Rabu, Perdana Menteri menyuarakan rasa kecewa apabila kenyataan Pengerusi Mara berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia terus diputarbelitkan sesetengah media.

Malah Annuar sendiri menerusi laman Facebook milik beliau mempersoalkan apa motif sebenar portal propembangkang itu sengaja memilih tajuk ‘Najib luluskan’ konon Perdana Menteri adalah dalang isu itu.

Padahal beliau dengan jelas menyatakan bahawa kelulusan itu dibuat oleh Majlis Ekonomi dan ianya adalah mengikut mengikut prosedur standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan serta wajib diikuti.

Memetik portal AgendaDaily, Najib malah menjelaskan walaupun beliau menaungi Majlis Ekonomi, keputusan akhir dibuat secara konsensus oleh majlis tersebut sebagai pihak urusetia mengenai segala pembelian hartanah kerajaan di luar negara.

“Saya kecewa kenyataan Tan Sri Annuar telah diputar belit sesetengah media. Keputusan hanya dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi. Namun, siasatan akan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau.


Najib berkata jika ada pihak didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Menurut Annuar tidak berbangkit soal kelulusan oleh mana-mana individu termasuk Najib. Para pemerhati melihat putar belit seumpama itu cuba memberi gambaran bagi mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal itu.

Walhal kerajaan mempunyai prosedur standard ketat yang digunapakai dalam proses pembelian seperti hartanah berkenaan. Orang yang mengurus pembelian itu semestinya pegawai MARA Inc berunding dengan pihak penjual.

Ia kemudian perlu melalui tapisan pihak ibu pejabat Mara sebelum dibawa pula ke peringkat saringan Kementerian Pembangunan Luar Bandar kerana Mara terletak di bawah agensi portfolionya.

Selepas itu dibawa ke peringkat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib. Lojik akal dapat buat kesimpulan bahawa jika sudah peringkat itu, Perdana Menteri dan Majlis Ekonomi tentu buat keputusan bergantung pada laporan menyeluruh tentang pembelian itu.

Soalnya macam mana Perdana Menteri yang terpaksa memikir hal masalah satu negara wajib tahu sama ada harga belian itu sudah dimanipulasi seperti didakwa kecuali beliau sendiri diberitahu lebih awal oleh pihak lain.

Annuar sendiri mengakui pihak Mara sendiri pada asalnya merasakan harga belian itu adalah mengikut harga pasaran semasa dan persoalan tentang harga belian itu cuma timbul kemudian setelah dibuat pada tahun 2013.

Melihat secara menyeluruh permainan tajuk berita ‘Najib luluskan’ itu memang sengaja bagi mengenakan Perdana Menteri, rasanya semua orang boleh buat andaian tersendiri pada niat tersirat portal propembangkang tersebut.

Sebenarnya inilah kemahiran mereka cuba hasut rakyat dengan cara memutar belit kenyataan asal dan ditokok tambah, sama seperti kes 1MDB dengan PetroSaudi yang terbukti sebenarnya adalah palsu semata-mata.

Adakah mereka masih tidak serik menipu rakyat tetapi apabila kebenaran terbongkar, portal terbabit kemudian buat bodoh senyap macam tiada apa-apa yang berlaku. Fikir-fikirkanlah! – Agensi