PETALING JAYA – Jabatan Penjara menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim
diberi layanan istimewa bertaraf VIP yang membolehkan bekas ketua
pembangkang itu bebas keluar dan masuk penjara.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim
berkata, Anwar pada Khamis lalu menghadiri penyiasatan Jawatankuasa
Tatatertib Peguambela dan Peguamcara di Wisma Maran, Kuala Lumpur pada
18 Jun lalu berhubung aduan disiplin terhadap seorang peguam yang
difailkan oleh bekas ketua pembangkang itu.
Menurutnya, pengiringan Anwar itu dilakukan selepas Ketua Pengarah
Jabatan Penjara mempertimbangkan notis yang dikeluarkan oleh pengerusi
jawatankuasa berkenaan berhubung aduan yang dibuat oleh Anwar di bawah
Akta Profesion Undang-Undang 1976.
“Komersioner Jeneral Penjara (Ketua Pengarah Jabatan Penjara) telah
menggunakan kuasanya di bawah di bawah Seksyen 31 Akta Penjara 1995 bagi
melaksanakan notis tersebut.
“Sepanjang tempoh berada bersama jawatankuasa berkenaan dan semasa di
Wisma Maran, Datuk Seri Anwar telah dikawal oleh pegawai penjara dengan
kerjasama berterusan dari pihak polis.
“Semasa berada di tempat awam Jabatan Penjara tidak berkeupayaan
mengawal sepenuhnya mana-mana pihak untuk mengambil gambar dan
seterusnya menggunakan gambar tersebut bagi apa-apa tujuan,” katanya
dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media sosial Jumaat
lalu yang mendakwa Jabatan Penjara memberi layanan VIP kepada Anwar
berhubung kebebasannya keluar dari Penjara Sungai Buloh untuk ke Wisma
Maran pada 18 Jun lalu.
Antara dakwaan tersebut adalah mengenai persoalan apakah peruntukan
yang membolehkan Anwar menikmati sebegitu hebat layanan walaupun bekas
ketua pembangkang itu sebenarnya merupakan banduan yang disabitkan atas
kesalahan meliwat.
Supri menegaskan bahawa pengiringan Anwar dan kehadiran Jawatankuasa
Tatatertib Peguambela dan Peguamcara adalah mematuhi peruntukan
undang-undang dan bukan satu keistimewaan seperti yang didakwa.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai
Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap
sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.
Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008. – mStar