Jadikan Al-Quran, Sunnah Paksi Petunjuk Semua Urusan, Titah YDP Agong


KUALA LUMPUR – Yang di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah agar petunjuk al-Quran dan as-Sunnah menjadi paksi dalam segala urusan meliputi aspek kenegaraan, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Seri Paduka bertitah masyarakat perlu patuh kepada mesej al-Quran yang menyeru agar hidup bersatu padu dan menjauhi segala bentuk perpecahan kerana hanya melalui perpaduan umat Islam dapat menjadi umat yang kuat dan teguh.

Ketika merasmikan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini, Tuanku Abdul Halim bertitah perpecahan menjadikan umat lemah, mundur, keadaan kacau bilau, anarki dan tidak stabil yang seterusnya mencetus perlakuan jenayah, pembunuhan, kezaliman dan seumpamanya.

Seri Paduka turut mengingatkan antara perkara yang mengancam perpaduan dalam kalangan rakyat masa kini ialah perbezaan fahaman sesama umat Islam dan penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

“Pada hemat Beta, kemajuan teknologi maklumat hendaklah digunakan sebaiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Oleh itu, segenap lapisan rakyat perlu bijaksana dalam menyaring segala maklumat yang disebarkan.

“Justeru itu, Beta menyeru segenap lapisan rakyat untuk sentiasa bersyukur di atas kurniaan keamanan yang dinikmati, di samping berusaha bersungguh-sungguh mengekalkan serta mengukuhkan perpaduan sesama kita,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri Datin Seri Fatmawati Saidin.

Majlis yang berlangsung lima hari bermula malam ini, menyaksikan 68 peserta mengambil bahagian iaitu 38 peserta kategori tilawah dan 30 bagi hafazan dari 56 buah negara.

Ia turut menyaksikan penyertaan sulung wakil dua negara iaitu Hong Kong dan Itali.

Bagi kategori hafazan, Malaysia diwakili Wan Ainuddin Hilmi dan Siti Husnaa Hassan yang merupakan johan lelaki dan wanita 30 Juzuk Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58.

Sementara bagi kategori tilawah, johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-36 iaitu Muhammad Syazani Jemy dan Farihah Zulkifli akan mewakili Malaysia.

Terdahulu, Jamil Khir berkata sesuai dengan tema penganjuran tilawah antarabangsa kali ini iaitu ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’, seluruh umat perlulah berpegang kepada ajaran Islam yang menyeru kepada muafakat dan persaudaraan.

“Persefahaman perlu diperkukuhkan tanpa mengira perbezaan kaum, budaya mahupun darjat agar membina perpaduan yang mendatangkan kebaikan kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Jamil Khir berkata keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan yang membawa seribu kemuliaan perlulah dihayati agar sahsiah dan jati diri yang baik dapat dibentuk seterusnya mengeratkan ikatan sesama masyarakat.

Johan qari dan qariah kategori tilawah bakal membawa pulang jongkong emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000; manakala bagi kategori hafazan, johan hafiz dan hafizah menerima wang tunai RM30,000 beserta cenderamata dan sijil penyertaan. – BERNAMA