“Jangan Guna Pemain JDT”, Nasihat TMJ Pada Dollah

Kredit: Johor Southern Tigers
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) meminta jurulatih Harimau Malaya supaya tidak lagi memanggil pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, permintaan itu dibuat berikutan terdapat pihak sentiasa menyalahkan pemain JDT setiap kali pasukan kebangsaan mengalami kekalahan.

“Nasihat saya kepada pengurusan pasukan kebangsaan, jangan gunakan lagi pemain pasukan JDT untuk mewakili pasukan kebangsaan pada masa akan datang sebaliknya gunalah pemain yang lebih handal dari pasukan-pasukan lain,” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.

Media semalam melaporkan skuad Harimau Malaya mengalami igauan ngeri apabila dibelasah 6-0 oleh Palestin pada perlawanan Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Percaturan yang dirangka Ketua Jurulatih Kebangsaan, Dollah Salleh ternyata tidak menjadi untuk menyekat semangat luar biasa yang dimiliki pasukan dari negara bergolak itu.

Walaupun membariskan pemain muda serta baharu, anak buah AbdelNasser Barakat itu dilihat menguasai keseluruhan babak perlawanan, yang gagal disekat oleh barisan pemain Malaysia.

Berikutan itu ramai peminat bola sepak Malaysia menyalahkan JDT diatas kekalahan memalukan tersebut kerana ramai pemain Harimau Selatan diambil bermain untuk skuad negara oleh Dollah.