Jangan Guna Perkataan"Buffet Ramadhan" Sewenang-Wenangnya...

JERAI - Pengusaha premis makanan di negara ini dinasihat supaya tidak sewenang-we­nangnya menggunakan perkataan "Bufet Ramadan" untuk mempromosi juadah berbuka puasa di premis perniagaan masing-masing sehingga mengelirukan ramai umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan bahawa pihak yang ingin berbuat demikian perlu memiliki sijil halal yang ditetapkan Jabatan Agama Islam negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tegas beliau, kegagalan untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Takrifan Halal).

"Kita nasihatkan mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti jualan Ramadan ini di tempat masing-masing memohon untuk mendapatkan sijil halal sama ada melalui Majlis Agama Islam negeri atau Jakim jika premis mereka masih tiada sijil halal.

"Di peringkat Jakim, kita ada menyediakan kaunter khas untuk tujuan khusus mendapatkan sijil halal bagi tujuan bufet Ramadan. Boleh buat permohonan lagi sehingga Ramadan nanti," tegas beliau.

Jamil Khir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 43 masjid Parlimen Jerai di Yan dekat sini, baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa para pengusaha juga perlu bersikap bertanggungjawab dan tidak mengelirukan umat Islam dengan menggunakan perkataan bufet Ramadan walaupun premis mereka tidak mempunyai sijil halal.

"Satu kesalahan bagi mereka yang tidak memiliki sijil halal mempamerkan barangan halal itu termasuk dari segi penggunaan perkataan. Ini termasuk perkataan bufet Ramadan juga ditakrifkan sebagai perbahasaan.

"Kita harapkan ma­syarakat tidak dikelirukan dengan poster atau kain rentang yang seperti ini. Semua premis makanan di restoran, kafe dan hotel mesti miliki sijil halal kalau nak gantung bufet Ramadan," katanya lagi.

Tegas Jamil Khir, pihak penguatkuasa dari Ja­kim dan Jabatan Agama Islam negeri akan sering memantau premis berkenaan bagi mengelak sebarang penipuan dalam kalangan pengusaha makanan.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan agar umat Islam berhati-hati memilih premis makanan yang mempunyai sijil halal ketika memilih premis makanan untuk berbuka sepanjang Ramadan. -Kedahnews.com