Keadaan pejabat surau yang digeledah pencuri dalam kejadian Jumaat lalu. |
Bendahari Surau As-Syakirin, Shamsol Kamal, 44 berkata, kejadian yang
berlaku pada Jumaat lalu yang paling buruk dialami kerana penceroboh
menggeledah sehingga ke dalam pejabat surau.
Menurutnya, penceroboh juga dipercayai masuk ke dalam surau itu dengan mengumpil pintu gelongsor yang dikunci.
“Saya curiga apabila tiba di surau untuk solat Asar pada hari kejadian
apabila melihat keadaan kayu yang menjadi penghadang kepada pintu
gelongsor beralih dari tempat asal.
“Namun masih tidak mengendahkan kerana ingin menunaikan solat Asar
dahulu. Bagaimanapun saya terkejut melihat pintu pejabat yang dikunci
terkopak dan terbuka manakala daqlam pejabat berkenaan berselerak akibat
digeledah,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau bagaimanapun pelik apabila set pembesar suara tidak diambil
pencuri kerana kejadian sebelum ini semua barang dikebas termasuk kipas
dinding.
“Saya percaya motif pencuri kali ini adalah untuk mendapatkan duit kerana sebelum ini semua barangan dicuri.
"Kejadian pecah surau ini juga adalah kali kelima berlaku sepanjang Mei
hingga Jun tahun ini dan kes ini berlaku sejak 2013,” katanya.
Shamsol berkata, laporan polis mengenai kejadian itu sudah dibuat dan
laporan itu ditampal di papan kenyataan surau supaya jemaah lain turut
berhati-hati.
Katanya, terbaru pencuri juga berani melakukan jenayah ketika jemaah bersolat.
“Baru-baru ini jemaah wanita kehilangan beg tangan ketika menunaikan
solat di dalam surau apabila beg berkenaan diletakkan di bahagian
belakang.
"Kami berharap pihak polis dapat membuat rondaan secara berkala di
kawasan surau ini kerana langkah keselamatan sudah kami ambil namun kes
curi masih berlaku,” katanya. -Sinar Harian