Johor Terkeluar Dari Malaysia Jika Langgar Janji - Tengku Temenggong Johor


DALAM situasi meruncing antara Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz, adinda kepada TMJ iaitu Tengku Idris pula mencuri perhatian rakyat jelata.

Melalui ruangan Instagram, Tunku Idris yang juga merupakan Tengku Temenggong Johor telah memuat naik satu kenyataan tentang perjanjian yang dimeterai antara Almarhum Sultan Abu Bakar dan Kerajaan British pada 1885, juga dengan Kerajaan Persekutuan pada 1946.

Pada perjanjian Setia 1885 dengan British, Kerajaan Johor dikenali sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat.

Seterusnya, perjanjian yang dibuat antara Johor dan Kerajaan Persekutuan pada 1946 telah disusuli dengan beberapa syarat.

Namun yang mencuri perhatian, di penghujung keratan ayat tersebut, ia tertulis, “Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia.”


Antara syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah Islam sebagai agama negeri, air dan tanah negeri Johor adalah hak mutlak Kerajaan Johor dan tidak boleh dicuit tanpa kebenaran kerajaan negeri dan Askar Timbalan Setia Negeri tidak boleh dibubarkan.

Selain itu, Perlembagaan negeri Johor juga tidak boleh diusik serta kuasa kerajaan negeri Johor terletak pada Sultan Johor.

Di ruangan kapsyen pula, Tunku Idris hanya meletakkan ‘#sejarah’ tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Semua tahu, semenjak beberapa hari lalu, kekanda Tunku Idris iaitu Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail telah dihentam oleh Nazri selaku Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak.

Semuanya gara-gara teguran TMJ kepada Datuk Seri Najib Tun Razak setelah Najib gagal muncul dalam satu program anjuran NGO SukaGuam bertajuk #Nothing2Hide, meskipun Ketua Polis Negara, Tan Sir Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa beliau yang sebenarnya membuat keputusan tersebut dan bukannya Perdana Menteri.

Khalid dalam kenyataannya menjelaskan bahawa keputusan melarang Perdana Menteri untuk hadir ke program tersebut adalah disebabkan hal ehwal keselamatan pemimpin nombor satu negara itu meskipun Najib sendiri dilaporkan sudah bersedia untuk ke program berkenaan.

Isu tersebut menjadi semakin besar selepas pihak berkuasa bertindak menyiasat Nazri di bawah Akta Hasutan 1948 atas kenyataannya yang dilihat melampau terhadap TMJ.