DUA konsep hidup yang kita kena tempuhi; pertama, hidup kita ini adalah untuk memberikan manfaat, menjadi hamba Allah supaya kita bertanggungjawab menjalankan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Kedua, kita hidup untuk memberikan manfaat kepada orang, khususnya keluarga kita dan orang sekeliling hidup kita.
Didik hati kita penuh dengan emosi hendak memberi sahaja, bukan menerima. Untuk mendidik hati penuh dengan jiwa pemurah, kita perlu ilmu, maka kerana itu kita menjadi orang yang hendak belajar, lagi banyak ilmu lagi banyak manfaat, lagi banyak manfaat lagi banyak orang sayang akan kita, dan Allah meredai kita sebagai hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.
Sebagai orang yang berilmu, yang tahu membezakan antara perkara yang mendapat reda Allah dengan perkara yang mendapat kemurkaan Allah, tujuan akhir hidup kita adalah untuk, mendapat khusnul khatimah dan mencari keredaan Allah bukan penghargaan manusia.
Disebabkan kita tahu tujuan hidup kita inilah, maka kalau kita diuji dengan kata-kata negatif yang mengeji dan mencela, kita terima dengan sabar dan anggap ia sebagai maklum balas daripada orang untuk kita memperbaiki diri.
Anggaplah celaan orang kepada kita sebagai satu perkara yang baik, untuk kita tahu kelemahan diri, hingga membuatkan orang tidak suka kepada kita, supaya kita boleh berubah menjadi lebih baik.
Orang mengeji kita kerana kelemahan diri, tetapi ada kalanya kita mendapat kejian atas rasa hasad dengki orang kepada kita. Orang yang berhasad dengki, akidahnya tidak mantap; tidak mempercayai kepada qada dan qadar Allah.
Kita akan berdengki apabila kita tidak berpuas hati, kepada orang yang dapat apa yang kita rasakan dia tidak patut dapat, dan kita pula tidak dapat apa yang kita rasakan kita patut dapat.
Kita diuji dengan rasa dengki juga, kerana kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada, tetapi kita asyik persoalkan apa yang kita tidak ada.
Demikianlah hakikat hidup, kemahuan kita tidak terbatas tetapi kemampuan kita pula terbatas. Jom audit diri, adakah hidup ini, kita mahu apa yang kita mahu atau kita mahu apa yang kita tidak ada?
Menghilangkan
Rasa dengki biasanya lahir daripada hati yang tidak dapat menerima kelebihan fizikal orang lain, seperti kelebihan harta, cantik, cerdik dan seumpamanya. Tetapi, jarang-jarang orang berdengki kepada orang yang mempunyai kelebihan sifat dalamannya, seperti baik hati, pemurah, penyabar dan seumpamanya.
Dalam Islam dibenarkan kita berdengki, iri hati dan tamak kepada dua perkara sahaja, iaitu dalam mencari ilmu dan mendapat pengampunan Allah. Untuk menghilangkan rasa dengki kata ulama pertama, doakan orang yang kita dengkikan itu, dan kedua, puji orang yang kita iri hati itu.
Insya-Allah kita akan dapat membersihkan hati kita daripada perasaan dengki dan berikhlas hati, menerima kelebihan yang dimilikinya yang kita tidak miliki.
Orang yang menerima pujian pula, didik hati kita apabila orang memuji, kita tidak suka, tetapi kalau orang mengeji, kita tidak marah. Kalau kita suka orang puji kita, bermakna kita suka akan penghargaan makhluk.
Orang yang makrifatullah apabila menerima pujian akan bersyukur dan pulangkan kembali pujian itu atas sifat Allah Yang Maha Berkuasa, memberikan kebaikan dan kemuliaan kepada kita, bukan kerana kehebatan kita. Bahaya, kalau kita terlalu terima banyak pujian; kita kena kata, “Masya-Allah dan pujian itu untuk Allah”.
Sentiasa "reset minda" iaitu ubah cara kita memandang dan menilai sesuatu perkara dan kejadian itu bagi mengelakkan kita berasa bongkak dan hebat kerana dihujani pujian manusia.
Manusia memang luas nafsu atau kehendaknya, dan kita tidak akan berasa puas kalau kia tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Ada orang yang diuji mempunyai anak yang nakal, ada orang diuji mempunyai suami atau isteri yang garang, ada orang yang diuji berhadapan dengan keluarga yang tidak ada pendidikan agama dan sebagainya.
Sebab manusia ini pelbagai ragamnya, maka ujian ke atas manusia juga pelbagai bentuk. Ada tujuh peringkat kehidupan manusia. Pertama, manusia kehaiwanan (kehidupan yang paling rendah). Kedua, manusia yang hidup dalam kesedaran ikut-ikutan (mengikut arus kehidupan atau ikut orang sahaja).
Ketiga, manusia yang menyedari dirinya seorang yang berbeza (unik). Keempat, manusia yang tidak tahu tujuan hidup. Kelima, manusia yang hidup dengan disiplin yang sangat kuat.
Keenam, manusia yang percaya apabila dia berdisiplin baru dia mendapat pengalaman hidup. Ketujuh, manusia yang mengawal dirinya dan kehidupannya dari dalam ke luar (makrifatullah Allah adalah segala-gala dalam hidupnya).
Oleh sebab itu jika diuji Allah dengan cabaran hidup, kita refleksi diri kita dahulu. Jom audit diri kita, di manakah kekurangan diri kita hingga kita ditimpa ujian Allah itu.
Lakukan senaman cermin. Pergi dekat cermin, kita cermin diri dan renung diri. Boleh atau tidak kita merenung diri? Kalau tidak boleh melakukannya bermakna kita tidak suka akan diri sendiri.
Tidak suka duduk seorang pun, tanda kita tidak suka diri kita. Di hadapan cermin, kita panggil nama kita dan katakan kita sayang akan diri kita, dan hal ini sebenarnya satu proses kita sedang bercakap dengan roh kita.
Bercakap hanya yang baik-baik sahaja untuk diri, jangan kritik dan kutuk diri sendiri. Apabila kita sayang akan diri kita, orang pun akan sayang dan Allah pun sayang akan kita. Ubah cara kita memandang sesuatu, jangan menghukum atau melabel, tetapi kita memandang dengan pandangan sayang.
Orang Islam adalah orang yang selamat kata-kata dan tangannya. Kalau dalam hidup kita ini penuh dengan mengingati Allah, kalau orang berbuat sesuatu yang tidak suka pun, kita masih boleh senyum dan berterima kasih.
Contoh kalau orang mencuri barang kita, patutnya marah atau berterima kasih? Jawapannya, bergantung kepada tahap keimanan kita. Kalau kita tahap imannya biasa-biasa, kita akan marah.
Tetapi, orang yang maqam keimanannya tinggi, akan muhasabah diri, “jika rezeki itu bukan hak aku, maka ia tidak akan sampai kepadaku dan menjadi milikku.” Maknanya dalam bahasa makrifat apabila diuji orang mencuri duit, kita akan berterima kasih kepadanya.
Pertama, mungkin dia melarikan duit yang tidak halal dalam hidup kita. Kedua, penat dia menggunakan tenaganya untuk menjalankan takdir hidup kita.
Sebab setiap orang ada takdir sendiri dan semua takdir kita berjalan melalui makhluk. Orang yang "mata hati" tajam, dia akan berkata kepada dirinya, “Allah menghantar pencuri itu kepadaku untuk memberikan masej atau pesanan kepadaku, untuk memperbaiki lagi diri”.
“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Sumber: Utusan