JPJ Mohon Maaf Pada Wanita Disuruh Pakai Kain Batik

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memohon maaf kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Suzanne G.L. Tan kerana diarahkan memakai pakaian kain batik ketika berurusan di JPJ Wangsa Maju di sini.

JPJ dalam satu kenyataan media memberitahu, pihak berkuasa itu berasa amat kesal kesal dengan kejadian tersebut dan memohon maaf kepada Tan di atas kesulitan yang beliau alami.

“JPJ ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika mereka tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

“Apa yang terjadi jelas telah menyulitkan urusan pelanggan tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, JPJ menegaskan bahawa jabatan itu tertakluk kepada garis panduan kod etika pakaian yang telah ditetapkan, sama seperti pejabat kerajaan yang lain.

“JPJ sentiasa proaktif dalam memberi khidmat kepada orang ramai bagi memastikan mereka memperolehi perkhidmatan yang baik dan efisien,” kata kenyataan itu lagi.

Beberapa media sosial hari ini kecoh melaporkan mengenai seorang wanita yang dikenali sebagai Suzanne G.L. Tan yang menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan JPJ menerusi laman Facebook.

Luahan wanita itu yang disertakan beberapa gambar menarik perhatian warga netizen hingga menjadi topik hangat di laman sosial.

Menurut Suzanne, tujuan dia berurusan dengan pejabat JPJ adalah bagi menandatangani borang pemindahan nama hak milik bagi sebuah kereta yang dijual.

Bagaimanapun, wanita yang memakai baju berwarna merah jambu dan skirt merah ini mendakwa didekati oleh seorang kakitangan JPJ sebelum disuruh menyarungkan kain batik yang diberi. -Kedahnews.com