Jual Mercun: Di Dungun Sudah Ada Yang Diberkas Polis

Gambar Hiasan
DUNGUN – Seorang peniaga yang aktif dalam penjualan mercun ditahan bersama pelbagai mercun dan bunga api dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Gong Beting, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata bertindak hasil maklumat orang awam, lelaki berusia 35 tahun itu diberkas pada pukul 1.30 pagi dan pihaknya turut merampas bahan larangan yang bernilai kira-kira RM2,000 yang disimpan dalam kediamannya itu.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 22 kotak bunga api dan bungkusan plastik yang mengandungi pelbagai mercun yang disorokkan di dalam setor rumah tersebut.

“Kita percaya kesemua mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari negara jiran untuk diedar dan dijual di daerah ini. Rampasan ini adalah yang pertama dibuat polis Dungun pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zailani, suspek yang ditahan itu juga turut mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan yang sama.

Justeru katanya polis akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap penjualan mercun termasuk pasar malam atau bazar Ramadan bagi mengelakkan kejadian letupan berdarah tidak diingini berlaku.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dalam isu bahan letupkan berkenaan dan akan menahan mana-mana individu terlibat.

Beliau turut minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penjualan mercun agar tampil menyalurkan maklumat di balai berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA