Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Jumlah pekerja asing di negara ini yang dijangkiti
penyakit Tuberkulosis (Tibi) semakin meningkat dengan lebih 17,000 kes
direkodkan tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata
berdasarkan statistik, kes jangkitan penyakit Tibi di kalangan pekerja
asing mencatatkan jumlah peningkatan bagi tempoh lima tahun dengan
17,981 kes dicatatkan tahun lepas berbanding 9,255 pada 2010.
“Pada tahun 2011 dilaporkan sebanyak 7,243 kes dan 18,346 kes pada
2012 manakala 17,303 kes pada 2013,” katanya menjawab soalan Teo Nie
Ching (DAP-Kulai) mengenai statistik penyakit Tibi di kalangan rakyat
pekerja asing.
Hilmi berkata statistik itu sekaligus membuktikan keberkesanan sistem
pengujian perubatan yang diwajibkan untuk pekerja migran di bawah
Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Kesihatan (Fomema).
Merujuk Sistem Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing
(SPIKPA), katanya, seramai 359 pekerja asing mendapat rawatan jangkitan
Tibi di hospital dari 2011 hingga April tahun ini. – BERNAMA