PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata
penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo
boleh membantu siasatan dakwaan terhadap 1Malaysia Development Bhd
(1MDB).
Beliau berkata maklumat yang didakwa salah dan dibocorkan oleh Justo
untuk disiarkan dalam talian telah ‘mencemarkan imej 1MDB’, dan beliau
berharap Justo akan dibawa ke muka pengadilan.
“Penangkapan Xavier Justo telah mendedahkan maklumat baharu mengenai isu 1MDB.
“Justo menggunakan fakta 1MDB yang diputarbelitkan untuk memeras ugut
itu, mungkin untuk keuntungan kewangan sendiri. Laporan berita
mendedahkan bahawa menjalani gaya hidup yang mewah.
“Jadi, apabila dia tidak lagi bekerja dengan PetroSaudi, dia memutuskan untuk memeras ugut mereka.
“Malangnya, agendanya telah mengheret kerajaan Malaysia dan 1MDB.
“Saya berharap siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap Justo dan
dia akan dibawa ke mahkamah, supaya maklumat yang telah dilaporkan oleh
laman web seperti Sarawak Report akan dapat dibuktikan palsu,” kata
Khairy, Khamis.
Pada Rabu, sebuah akhbar Thailand, Bangkok Post melaporkan bahawa
polis Thailand telah menahan Justo, 49, dan mendakwa warganegara
Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat berkenaan.
Siasatan awal mendapati Justo bertanggungjawab memberikan maklumat salah kepada Sarawak Report..
Blog tersebut menjadi sumber maklumat palsu dan artikelnya mengenai 1MDB kemudiannya dipetik The Edge dan media lain.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang berkata, pihaknya
turut menggeledah kediaman Xavier Justo dan merampas sebuah komputer
serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah
itu.
Katanya, Xavier Justo merupakan eksekutif di PetroSaudi, sebelum melarikan diri ke Thailand.
Justo ditahan di sebuah rumah di Koh Samui pada Isnin atas dakwaan membocorkan maklumat kepada Sarawak Report mengenai 1MDB.
Namun, dia menafikan dakwaan tersebut. - mStar