SUNGAI PETANI – Telekom Malaysia Bhd (TM) Kedah terpaksa menanggung
kerugian mencecah RM1.5 juta akibat kecurian kabel tahun ini di mana
daerah Kuala Muda dan Kota Setar antara yang paling teruk terjejas.
Pengurus Besar TM Kedah Perlis, Noor Lela Baba berkata, angka itu
menunjukkan kerugian yang terpaksa TM tanggung melibatkan 485 kes yang
dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini bermula Januari
sehingga Mei.
Menurutnya, langkah pencegahan telah diambil selain sistem kawalan
keselamatan dipertingkatkan di samping menjadikan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) sebagai Rakan TM dalam usaha menangani kejadian berkenaan.
“Melaluinya, kita akan menggalakkan orang ramai menghubungi polis
segera sekiranya ternampak kegiatan mencurigakan melibatkan kecurian
kabel selain mengedarkan talian hotline PDRM dan talian Pusat Kawalan
Keselamatan TM menerusi kempen.
“Dalam masa sama, kita menghargai sokongan semua pihak terutama PDRM
dan masyarakat yang sentiasa membantu mengurangkan kadar ini,” katanya
ketika hadir ke Program Rakan TM Bersama PDRM Kedah, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
Selain itu, katanya, TM sentiasa mempertingkatkan sistem keselamatan
kabel dengan penggunaan pengesan khas melalui sistem I-Watch yang dapat
mengesan sekiranya kabel TM di ceroboh seterusnya menghantar pesanan
dengan segera ke pusat kawalan.
“Bagi mengatasinya, TM kini sedang mempertingkatkan perkhidmatan tanpa
wayar, Unifi yang kini sudah pun menjadi pilihan pengguna di Sungai
Petani dan sedang dipertingkatkan di Langkawi.
“Dalam masa sama, kita juga akan mempertingkatkan perkhidmatan Unifi di
Alor Setar, Kulim dan Jitra selepas ini, yang juga merupakan salah satu
cara menangani penggunaan kabel dan kecurian kabel,” katanya.
Sementara itu, Zamri berkata, pihaknya sentiasa bersedia dan meminta
agar Pusat Kawalan Keselamatan TM menghubungi segera PDRM sekiranya
mempunyai maklumat kecurian berkenaan.
“Kita harapkan TM dapat memasang sistem online antara bilik gerakan
keselamatan dan polis bagi memaklumkan segera dengan pantas sekiranya
berlaku kecurian kabel agar pemantauan segera dapat dilakukan,” katanya.
Menurutnya, kes melibatkan kecurian kabel mampu melumpuhkan sistem
telekomunikasi, menjejaskan aktiviti perniagaan, ekonomi dan pembangunan
negara sekali gus menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Sumber: Sinar Harian