Kalau PKR Pilih DAP, Maka PAS Harus Berundur.." - Mahfuz Omar

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar memberi kata dua pada PKR sama ada memilih untuk bersama PAS atau lebih memilih untuk bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, pendirian PKR sangat penting di saat ini ekoran ia bakal menentukan pilihan yang harus dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali untuk mentadbir Kerajaan Negeri Selangor bersama DAP atau PAS.

“Mahu tidak mahu Menteri Besar Selangor harus membuat pendirian sama ada memilih salah satu daripada parti (PAS atau DAP) untuk menjadi rakan dalam pentadbiran Negeri Selangor.

“Kalau PKR memilih DAP, maka PAS harus berundur.. kalau PKR memilih Pas, maka DAP harus berundur. Yang berundur bukan bermakna dia tidak menyokong kerajaan, dia boleh jadi parti mesra kerajaan,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu semalam.

Ujarnya lagi, sama ada DAP mahupun PAS yang akan dipilih, kedua-dua parti harus menerima keputusan tersebut dengan terbuka.

PAS dan DAP berkongsi jumlah kerusi DUN yang sama di Selangor iaitu sebanyak 15 manakala PKR pula memiliki 13 kerusi dan Barisan Nasional 12 kerusi.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur susulan keputusan Muktamar Tahunan PAS 2015 yang meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP. -Kedahnews.com