HARI Jumaat adalah hari paling utama sehingga digelar sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Ia juga adalah hari perhimpunan mingguan bagi umat Islam khususnya golongan lelaki untuk solat Jumaat dan juga membajai hati melalui khutbah yang disampaikan.
Tentang kelebihan hari Jumaat ini Rasululah SAW bersabda yang bermaksud:
"Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan memberi petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain". (Riwayat Muslim)
Bagaimanapun, disebabkan keterbatasan waktu selain kesibukan bekerja, ramai dalam kalangan kita yang tidak sempat melaksanakan amalan-amalan sunat Jumaat. Apa tidaknya, bagi yang tinggal di Lembah Klang misalnya, masa amat kritikal.
Bagi yang tinggal di kawasan seperti Sungai Buloh dan Rawang serta bekerja di Kuala Lumpur, ramai yang terkejar-kejar ke pejabat. Pendek kata, kalau masuk waktu Subuh pada pukul 6 pagi, lepas bagi salam maka mereka akan cabut ke pejabat.
Jarang bagi golongan ini berpeluang solat sajadah pada subuh Jumaat. Sebab itu, imam di sesetengah masjid dan surau tidak membaca ayat sajadah bagi mengelak makmum kelam-kabut dan terganggu solat mereka.
Amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. (Riwayat Bukhari)
Disebabkan majoriti kita bekerja pada hari Jumaat, maka kita terlepas satu lagi amalan sunat iaitu mandi sebelum menunaikan solat Jumaat. Suruhan ini bersandarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu”. (Riwayat Ibnu Majah)
Kita juga digalakkan datang awal ke masjid atau surau untuk solat Jumaat dengan ganjaran pahala yang berar. Dalam bab ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebutir telur.” (Riwayat Ibnu Majah)
Malangnya, sebahagian besar kita yang bekerja tidak dapat datang awal ke masjid pada hari Jumaat kerana waktu rehat untuk solat adalah kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Itu belum ditolak masa perjalanan ke masjid kerana bukan semua kita berada dekat dengan lokasi solat Jumaat.
Satu lagi sunnah pada Jumaat adalah membaca surah al-Kahfi. Ini pun tidak ramai yang mampu melakukannya. Antara alasan utama adalah kesuntukan masa. Yalah, selepas selesai solat Jumaat sudah bergegas pula masuk semula ke pejabat untuk kembali bertugas.
Sebab itu, alangkah baik jika negara kita menukar cuti mingguan daripada Ahad kepada Jumaat. Selain memang Jumaat itu adalah hari kebesaran umat Islam ia juga memberi peluang yang seluas-luasnya kepada umat Islam beribadat.
Ini bukan pula mahu menjadikan kita malas bekerja pada Jumaat tetapi selaras dengan suruhan Allah bersegera solat Jumaat dan bertebaran mencari rezeki di muka bumi selepas menunaikannya. (Rujuk surah Jumuah: 9)
Sumber: Utusan