SATUN (THAILAND) – Kampung Puyu atau lebih dikenali sebagai Kampung
Puju dalam kalangan rakyat Malaysia, dipercayai menjadi antara pintu
masuk utama bagi sindiket pemerdagangan manusia membabitkan pelarian
Rohingya dan pendatang Bangladesh.
Kampung ini terletak bersebelahan Kampung Syed Omar dan Bukit Bintang
di Perlis dan dipisahkan hutan tebal Gunung Perlis yang juga menjadi
kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Kampung Puyu yang majoriti penduduknya beragama Islam hanya boleh
dihubungi melalui jalan laut yang mengambil masa kira-kira sejam
setengah perjalanan daripada Kuala Perlis dan 30 minit daripada Jeti
Tammalang, Thailand.
Difahamkan kampung ini akan dijadikan lokasi pertama bagi ‘mengurung’
pelarian selepas bot yang membawa mereka tiba di darat dari Lautan
Andaman.
Bermula dari Kawthaung (Myanmar), pelarian dipercayai dibawa menuju
Ranong, Phuket, Phang Nga, Krabi dan Trang di Thailand sebelum memasuki
Malaysia melalui Satun.
Ramai mungkin tertanya-tanya bagaimana pelarian Rohingya dan
pendatang Bangladesh memasuki Malaysia dan di mana mereka ditempatkan
sebelum dijual kepada pasaran gelap.
Penulis bertemu seorang pemandu pelancong di Satun yang hanya mahu dikenali sebagai Lan dan bersedia untuk bercakap.
Namun Lan meminta kami agar menyamar sebagai pelajar universiti bagi
mengelak daripada mendapat perhatian dan kejadian tidak diingini.
Dia yang bersetuju membawa kami meninjau beberapa kawasan
persinggahan bot pemerdagangan manusia berkata Kampung Puyu yang
bersempadan dengan hutan tebal dianggap kawasan strategik kerana turut
mempunyai banyak kampung kecil dan laluan tikus.
“Di sini kalau tanya orang tempatan, memang banyak yang tahu pasal
ini. Tapi banyak yang tak berani bersuara sebab di sini ada juga orang
tempatan yang turut terlibat dalam sindiket,” katanya dan mengingatkan
kami perlu berhati-hati ketika menyebut mengenai Rohingya.
Perjalanan melalui laluan tikus daripada Kampung Syed Omar hanya
memerlukan sekitar satu jam untuk sampai ke batu sempadan Thailand, dan
beberapa jam lagi melalui hutan untuk sampai ke kaki bukit Kampung Puyu.
Hutan yang sama turut menyambungkan Bukit Bintang, Wang Mu, Wang
Kelian dan Hutan Simpan Felda Mata Ayer di mana beberapa kem transit dan
kubur dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditemukan pada
19 Mei lepas.
Lan menjelaskan bukti kuat yang menunjukkan Kampung Puyu menjadi
pintu masuk sindiket ialah selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap
ketua kampungnya yang dipercayai menjadi antara orang kanan kepada ketua
sindiket di Satun iaitu Pajjuban Angchotipon.
Media Thailand melaporkan bahawa Pajjuban yang melarikan diri
bagaimanapun menyerah diri di Bangkok beberapa hari kemudian selepas
waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
Beberapa orang lagi ketua kampung di Satun termasuk ketua kampung
Tanjung Pao, Chebilang dan Pulau Jetuk turut dilaporkan terlibat sebagai
orang kanan Pajjuban.
Kampung-kampung ini dipercayai menjadi transit kepada bot yang
membawa pelarian sama ada untuk mengambil makanan atau mendapat
‘kebenaran’ sebelum berlabuh di Kampung Puyu.
Seorang anggota jawatankuasa Kampung Tanjung Pao yang tidak mahu
namanya didedahkan mengakui kawasan tempat tinggalnya menjadi tempat
persinggahan sementara kapal yang membawa pelarian Rohingya.
“Mereka selalunya tidak singgah lama di sini, tak sampai satu hari.
Selalunya bila mereka singgah di sini, akan ada orang-orang tempatan
yang bekerja dengan mereka membawa makanan dan minyak petrol kepada
mereka,” katanya.
Dia yang berumur awal 60-an dan menetap di Tanjung Pao sejak kecil
berkata Thailand hanya menjadi tempat transit kepada sindiket
pemerdagangan manusia sebelum menjual mangsa ke Malaysia dan Indonesia yang menjadi pilihan utama mangsa.
Bagaimanapun, dia berkata beberapa buah pulau kecil berhampiran Satun
di Lautan Andaman turut dipercayai menjadi kem tahanan sementara
pelarian.
Tanjung Pao terletak kira-kira 13 kilometer (km) daripada Jeti
Tammalang yang menyediakan bot tambang ke Kampung Puyu dan kira-kira 17
km daripada bandar Satun.
Dalam pada itu, seorang warga emas di Kampung Chebilang yang hanya
mahu dikenali sebagai Kuna mengakui sering melihat dua ‘kapal besar tiga
tingkat’ yang dipercayai memuatkan mangsa pemerdagangan manusia
berlabuh di jeti kampungnya.
“Kami memang selalu tengok tapi dia tak singgah lama di sini. Tak
tahu pula ada sindiket begini, sehinggalah beberapa orang di kampung ini
sendiri ditahan. Banyak pihak terlibat. Semuanya bekerja untuk satu
tauke besar,” katanya.
Kampung Chebilang terletak kira-kira 13 km dari bandar Satun dan tujuh km dari Tanjung Pao.
Penduduk Melayu di kedua-dua kampung berkenaan fasih berbahasa Melayu loghat Kedah. – BERNAMA