Gambar Hiasan |
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memberi amaran kepada wanita Islam
di negeri tersebut untuk tidak berpakaian seksi ketika bulan Ramadan,
atau akan berhadapan dengan tindakan saman malah lebih parah lagi,
pesalah akan dipenjara.
Menurut Ketua Siasatan JAIP, Mohd Anis Azmin, hasil pemantauan
pihaknya di beberapa lokasi bazar Ramadan mendapati segelintir wanita
tidak peka dengan bulan puasa dan memakai pakaian menjolok mata.
“Mereka perlu mengelak daripada memakai pakaian seperti itu sepanjang bulan mulia ini.
Ini merupakan amaran kepada orang ramai sebelum kami melakukan operasi terhadap pesalah tidak lama lagi,” katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Namun demikian, katanya lanjut, JAIP tidak meletakkan sebarang garis panduan tentang cara berpakaian yang betul.
“JAIP tidak boleh menetapkan penanda aras mengenai bagaimana
pakaian yang sopan, kerana apa yang baik bagi JAIP, tidak semestinya
dianggap begitu oleh orang lain.
“Kita juga tidak boleh memberitahu mereka apa yang mereka
perlu pakai tetapi peraturan praktikal adalah untuk berpakaian sopan
walaupun anda hanya keluar untuk membeli makanan di bazar Ramadan,” kata kenyataan itu lagi.
Tetapi, pesalah yang ditahan pihak berkuasa agama akan diberikan
kaunseling terlebih dahulu, dan seandainya dia tidak berubah dan
mengulangi kesilapan sama barulah tindakan saman akan diambil. -Kedahnews.com