KEJAM! Ibu Tergamak Tekap Seterika Panas Pada Perut Anak Di Sarawak

Gambar Hiasan
Boleh dikatakan rakyat di negara kita sering kali dilaporkan dengan kes-kes yang melibatkan anak yang menjadi tempat melepaskan kemarahan ibu bapa atau golongan dewasa gara-gara masalah rumah tangga yang mereka hadapi.

Terbaru, seorang wanita dilaporkan bertindak di luar batasan apabila sanggup menekap seterika panas pada badan anak lelakinya di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Dalat-Mukah, Sarawak.

Akibat kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin itu, mangsa yang berusia 10 tahun menderita apabila tubuhnya melecur kira-kira 30 peratus di bahagian perut dan menerima rawatan di Hospital Mukah.

Menurut seorang sumber, ketika kejadian itu berlaku, suspek yang bertelagah dengan suaminya gagal mengawal perasan dan menjadikan kanak-kanak malang itu sebagai tempat melepaskan geram.

“Kebetulan, ketika pasangan itu bergaduh, kanak-kanak berkenaan berada di ruang tamu menyaksikan pergaduhan kedua ibu bapanya.

“Kebetulan ketika bertikam lidah, wanita terbabit yang sedang menggosok pakaian dengan seterika kemudian menekap seterika panas itu di perut anaknya sebelum keluar meninggalkan rumah,” katanya yang dipetik dari sumber.

Jelasnya lagi, kejadian kejam tersebut disedari bapanya selepas kanak-kanak itu menjerit dan menangis kesakitan.

Susulan itu, suspek yang merupakan warga Indonesia berjaya ditahan di rumahnya dua jam selepas kejadian.

Kes berkenaan difahamkan sedang disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 20. -Kedahnews.com