Kemelut Gaji Amah Indonesia: Kementerian Sumber Manusia Wajar Kemuka Syarat Ini

Sebuah blog semalam mencadangkan beberapa terma dan syarat kepada Kementerian Sumber Manusia untuk diperbincang bagi menyelesaikan isu kemelut gaji pembantu rumah Indonesia yang sehingga kini masih belum mencapai kata sepakat.

Mengutarakan beberapa cadangan kepada kementerian berkenaan, pemilik blog berkenaan seolah menunjukkan jalan keluar pada pihak kerajaan bagi mengatasi kehendak kerajaan Indonesia yang mahu gaji amah dari negara mereka dinaikkan kepada RM1,200 sebulan.

Berikut adalah cadangan-cadangan tersebut sebagaimana yang dipetik dari blog berkenaan:
1. Setiap majikan bersetuju memberikan gaji setinggi RM1,200 sebulan bagi setiap amah yang bekerja sebagai pembantu rumah mereka.

2. Setiap amah perlu membayar sewa bilik yang didiami di rumah majikannya itu dengan kadar paling minimum sebanyak RM250 sebulan hingga RM400 sebulan, bergantung kepada keadaan dan tahap keselesaan bilik.

3. Setiap amah perlu menyumbangkan sebanyak RM20 untuk bil air dan RM40 ringgit untuk bil elektrik di rumah majikan yang didiami setiap bulan, sebagai tanggungjawab menggunakan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

4. Setiap amah juga perlu membayar sekurang-kurangnya RM500 sebulan atau RM17.00 sehari bagi menampung kos makan minum mereka di rumah majikan masing-masing setiap bulan.

5. Setiap kerugian yang ditanggung majikan yang berasaskan kecuaian amah Indonesia seperti memecahkan pinggan mangkuk, kerosakan pekakasan elektrik akibat penggunaan yang salah dan sebagainya, perlulah dikenakan penalti minimum sebanyak RM10, bergantung kepada kos kerugian semasa. Bayaran perlulah dibuat oleh amah tersebut kepada majikan masing-masing.

6. Sebarang salah laku oleh amah seperti penggunaan telefon milik majikan juga perlu dibayar oleh amah mengikut kadar penggunaan.

7. Segala kos rawatan anak-anak yang calar balar, lebam dan sebarang bentuk kecederaan yang disebabkan kecuaian dan punca dari amah Indonesia perlu dicaj atau ditolak dari gaji amah terbabit.

8. Sebarang perubahan ke atas terma dan syarat di atas adalah tertakluk di bawah kuasa majikan yang membayar gaji pada amah Indonesia berkenaan.
Untuk layari blog berkenaan, sila klik di sini. -Kedahnews.com