Kemelut PR, Isu-Isu Besar: Majlis Syura PAS Bincang, Putuskan Minggu Depan

ALOR SETAR - PAS Pusat akan membincangkan banyak perkara besar termasuk isu pepecahan dalam parti itu dan usul memutuskan hubungan dengan parti sekutunya, DAP, yang kini masih berada di dalam gabungan Pakatan Rakyat, pada Ahad ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan bahawa sudah sampai masanya untuk membincangkan isu-isu besar berkenaan dan menjangka ia bakal diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS dalam satu mesyuarat yang dijadual berlangsung pada minggu depan.

"Ahad ini PAS Pusat akan bermesyuarat dahulu. Banyak isu besar yang akan dibincangkan termasuk isu berpecah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Jadi minggu depan saya jangka Majlis Syura Ulama juga akan adakan pertemuan. Lagi pun muktamar sudah dua minggu berakhir, ini adalah masa yang sesuai untuk duduk berbincang,"

Selain itu, turut dijelaskan bahawa mesyuarat tersebut juga dijangka akan membincangkan hala tuju PAS selepas berakhirnya kerjasama antara parti itu dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat

Majlis Syura Ulama PAS dijangka bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan dan memutuskan pendirian parti itu berhubung krisis perpecahan pakatan pembangkang.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh pula berkata, Majlis Syura Ulama difahamkan sudah menetapkan tarikh untuk diadakan mesyuarat pertama badan tertinggi PAS itu.

Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi yang juga merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulama pada sesi lalu enggan mendedahkan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan.

"Maaf, saya tak boleh beritahu tarikh. Tapi memang sudah ditetapkan tarikh, masa dan tempatnya," katanya.

Menurut beliau lagi, mesyuarat pertama Majlis Syura Ulama itu nanti akan memberi fokus kepada usul Dewan Ulama PAS Pusat yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS yang lalu berhubung cadangan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.


"Isu berkaitan usul ini akan menjadi agenda utama mesyuarat itu nanti.

"Juga kita akan bincangkan mengenai perkembangan terbaharu krisis Pakatan Rakyat apabila DAP umumkan bahawa tiada lagi pakatan," jelasnya. -Kedahnews.com