Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh. |
BESUT – Kementerian Pendidikan akan meneruskan dasar penjimatan dalam
perbelanjaan pengurusannya seperti yang telah berjaya dilakukan tahun
lalu, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya beliau gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam satu perjumpaan dengan kakitangan awam baru-baru ini, mahu
usaha Kementerian Pendidikan itu dicontohi oleh kementerian lain.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak dalam
kementerian termasuk para pentadbir sekolah, pejabat dan jabatan
pendidikan yang telah melakukan yang terbaik dalam melakukan
perbelanjaan hingga dapat membantu kerajaan menjimatkan sejumlah wang
yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa
bersama-sama warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan
penduduk di dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong di sini semalam.
Mengenai pemilihan Naib Canselor universiti dilakukan setiap tiga
tahun sekali oleh sebuah jawatankuasa pemilih, Idris berkata sehingga
ini pemilihan tersebut dianggap bersesuaian apabila terdapat banyak
universiti tempatan berjaya tersenarai antara 300 universiti terbaik
peringkat Asia dan dunia tahun ini.
Katanya mereka yang dipilih sebagai Naib Canselor biasanya mempunyai
pengalaman dan pengetahuan luas dan boleh menentukan kejayaan sesebuah
universti yang bakal diterajuinya. – BERNAMA