MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Asyraf Hamzah |
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghantar kaunselor untuk memberi khidmat kaunseling kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Ranau serta daerah lain di Sabah pada Jumaat lepas.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata perkhidmatan kaunseling berkenaan disediakan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Kem Bina Negara Kundasang.
Katanya, selain penduduk tempatan, khidmat kaunseling juga ditawarkan kepada para pendaki serta anggota keluarga yang mungkin trauma dengan bencana alam itu.
"Memandangkan pendaki ini terdiri daripada rakyat pelbagai negara, maka kita menyediakan kaunselor yang sememangnya mahir bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Jom Jalan-jalan Bersama Hydrocephalus, Apert Syndrome & Craniosysnostosis' di sini, hari ini.
Rohani berkata, pusat pemindahan sementara terbabit dibuka sejak 5 Jun lalu dan sehingga kini 115 orang terdiri daripada anggota keluarga pendaki berada di pusat tersebut untuk mengetahui perkembangan semasa.
"Selain perkhidmatan kaunseling, pusat ini menyediakan pelbagai kemudahan kepada penghuni termasuk makanan," katanya.
Tiga belas individu disahkan terkorban setakat ini dalam gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat. - BERNAMA