Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar |
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan
tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang gagal membayar
balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau berkata tiada alasan bagi penjawat awam untuk tidak membayar
balik pinjaman memandangkan mereka mempunyai pendapatan tetap.
“Bagi saya peminjam yang tidak membayar balik telah mengkhianati
perjanjian dan menafikan hak pelajar lain untuk mendapatkan pinjaman
yang sama kerana kita sedia maklum jumlah pinjaman PTPTN kini telah
dikurangkan kerana ramai yang tidak membayar balik,” katanya.
Katanya Jabatan Perkhidmatan Awam perlu pertimbangkan tindakan
tatatertib dikenakan kerana penjawat awam harus mendukung dasar kerajaan
dan bukan mengkhianati perjanjian tersebut.
Beliau demikian kepada pemberita selepas menyertai larian amal “Reach
Out Run: Run for a Cause” ketika diminta mengulas laporan akhbar hari
ini bahawa lebih 33,000 penjawat awam masih gagal membayar pinjaman
PTPTN.
Khairy berkata beliau faham sekiranya atas beberapa masalah seperti
menghidap penyakit kronik mungkin mereka tidak mampu bayar balik, namun
peluang masih diberikan untuk mereka menjadualkan semula bayaran balik.
Larian amal anjuran iM4U itu berjaya mengumpul RM200,000 yang akan
diagihkan kepada empat badan amal iaitu Heart Foundation of Malaysia,
Dyslexia Association of Malaysia, SVM Welfare Association dan Langkawi
Animal Shelter and Sanctuary Foundation. – BERNAMA