Hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan anggota tentera negara tidak dapat dipisahkan... |
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan orang ramai agar mengenang jasa serta pengorbanan anggota
pasukan keselamatan negara.
Melalui podcast atau fail audio yang dimuat naik dalam blog
rasminya najibrazak.com semalam, beliau berkata jasa mereka dalam
menjaga dan memastikan keselamatan negara tidak boleh dilupakan sama
sekali.
“Anggota keselamatan kita sentiasa bersiap-sedia bagi memastikan kita semua dapat tidur dengan lena,” katanya.
Najib berkata, beliau berasa sangat bertuah kerana berkesempatan
meluangkan masa dengan keluarga pada awal Ramadan ini untuk berbuka
puasa bersama isteri, anak dan ibu beliau.
“Tetapi saya juga teringat pada anggota pasukan keselamatan negara
yang tidak dapat berbuka dengan keluarga ketika menjalankan tugas
menjaga keselamatan negara,” jelas Najib.
Secara kebetulan, beliau sendiri pernah berpengalaman menjadi Menteri
Pertahanan sebanyak dua kali itu 1990-1995 dan 1999-2008 di bawah
pentadbiran dua perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun
Abdullah Badawi.
Ketika menerajui kementerian itu, Najib diingati warga Angkatan
Tentera Malaysia kerana sikap prihatin beliau meningkatkan taraf
kediaman berek anggota di seluruh negara yang lebih selesa khasnya
pasangan yang sudah berkeluarga.
“Selasa lalu saya membuat keputusan untuk berbuka puasa dengan
anggota tentera dan ketika itu, saya terharu dapat lihat kesedihan di
raut wajah mereka kerana tidak dapat bersama keluarga semasa bertugas
untuk negara,” katanya. – BERNAMA