Kenapa Hutan Kampung Jadi Tumpuan Setiap Kali Ramadhan?

ALOR SETAR - Setiap kali tiba Ramadan, pondok di tepi Jalan Hutan Kampung pasti menjadi tumpuan pembeli untuk mendapatkan daging lembu segar.

Jalan sepanjang dua kilometer itu akan dipenuhi pembeli yang ingin mendapatkan daging berkualiti dari gerai berbentuk pondok yang dibina di situ.

Pembeli, Talib Chin, 51, berkata, menjelang Ramadan dan Aidilfitri sudah pasti kawasan itu akan menjadi tumpuan penduduk sekitar.

Menurutnya, sejak dahulu lagi apabila tiba awal Ramadan, orang ramai akan beratur bagi mendapatkan bekalan daging di situ.

“Peniaga yang menjual daging secara dalam pondok itu menjadi tradisi bagi penduduk di utara sebelum wujudnya pasar.

“Pembangunan di Hutan Kampung semakin berkembang namun, sistem berniaga dalam pondok itu masih terus mendapat sambutan sehingga hari ini,” katanya.

Talib berkata, orang ramai berpuas hati menjalankan urus niaga di sini kerana selain daging, mereka boleh mendapatkan pelbagai bahagian daripada seekor lembu.

Manakala, peniaga, Mohd Romzi Abidin, 54,  berkata, gerai itu sudah wujud sejak sebelum merdeka dan sudah sinonim dengan penduduk di sini.

Jelasnya, pelanggan yang datang bukan sahaja penduduk sekitar malah dari daerah berdekatan seperti Pokok Sena dan Kubang Pasu.

“Ketika Ramadan jualan kami lebih daripada hari biasa, jika sebelum ini hanya menjual setengah ekor tetapi kali ini kami mampu menjual seekor lembu.

"Jualan mendapat sambutan kerana kami hanya menyediakan daging lembu tempatan kepada pelanggan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian, sebelum ini terdapat empat gerai sahaja tetapi ketika Ramadan sebanyak enam pondok  beroperasi di sini.

Sumber: Sinar Harian