Keputusan Awal Undi Calon Ketua Pemuda PAS: Suhaizan 65%, Nik Abduh 35%?

ALOR SETAR - Kehangatan pemilihan Ketua Dewan Pemuda PAS semakin terasa bahangnya menyaksikan AJK PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mencabar penyandang jawatan tersebut, Suhaizan Kaiat.

Menerusi undian yang dilakukan oleh sebuah portal pro-pembangkang, Malaysiakini, jelas sekali Suhaizan sedang mendahului anak mantan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, itu dengan memperoleh undi sebanyak 65 peratus.

Manakala Nik Abduh hanya mampu memperoleh sebanyak 35 peratus undian yang dibuat secara online di laman portal berkenaan.

Sehingga laporan ini ditulis kira-kira jam 10.45 malam ini, sebanyak 1,077 undian telah dibuat oleh pembaca Malaysiakini.

Bagaimanapun, telahan kami bahawa kemungkinan besar undian tersebut langsung tidak boleh diguna pakai sebagai pengukur keputusan sebenar pemilihan Ketua Pemuda PAS itu ekoran kemungkinan besar dimanipulasi pihak tertentu.


Lagipun, desas-desus sebelum ini mendakwa bahawa DAP memiliki kumpulan "cybertroopers" ampuh yang dikenali sebagai "Red Bean Army" yang mampu memanipulasi undian online secara efektif sebagai gerak saraf.

Apatah lagi dengan serangan bertali arus pihak DAP terhadap PAS, khususnya berkenaan hukum hudud di Kelantan, dikhabarkan bahawa parti itu kini sedang membantu kempen calon tertentu yang bertanding di dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini.

Apapun, kami menyarankan supaya kita tunggu saja keputusan undian di muktamar PAS yang dijadual berlangsung awal bulan ini. - Kedahnews.com