Keputusan Pemilihan Dewan Pemuda PAS: Nik Abduh Menang, Suhaizan Tewas

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kini Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru
ALOR SETAR - Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dilaporkan telah berjaya merampas kerusi Ketua Dewa Pemuda PAS Pusat dari penyandang jawatan tersebut, Suhaizan Kayat.

Dengan kemenangan itu, ia sekaligus menafikan undian "popular" di sebuah portal yang sebelum ini menunjukkan Suhaizan lebih dipilih untuk mengetuai sayap PAS itu berbanding anak tokoh ulama PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

Difahamkan dari portal yang sama, Nik Mohamad Abduh telah menerima sebanyak 429 undi manakala Suhaizan pula hanya mampu memperoleh 262 undi sahaja.

Suhaizan walau bagaimanapun hanya mampu tersenyum dan awal-awal lagi mengucapkan tahniah kepada pimpinan baru yang terpilih, seolah tahu dia akan kalah dalam pemilihan kali ini.
 
Selain itu, bekas Ketua Pemuda PAS itu turut berterima kasih kepada semua ahli Pemuda PAS kerana memberi kerjasama sepanjang beliau menerajui sayap parti berkenaan.
 
"Terima kasih kepada semua yang beri kerjasama pada Pemuda PAS. 
 
"Belum ada pengumuman lagi tapi kita semua tahu dah. Saya ucapkan tahniah pada pimpinan yang baru," katanya yang dipetik dari Malaysiakini.
 
Sebelum keputusan pemilihan dikeluarkan, Suhaizan turut dilapor telah menerima kritikan dan hentaman bertubi-tubi dari para perwakilan Pemuda PAS yang berucap di pentas muktamar tersebut, termasuk mengecam pimpinannya yang dikatakan enggan mempertahan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang teruk "diserang" DAP. 

Desas-desus di peringkat akar umbi Pemuda PAS sebelum ini membayangkan Suhaizan merupakan antara pemimpin parti mereka yang cenderung kepada Pakatan Rakyat berbanding wala' pada Presiden PAS. -Kedahnews.com