Keputusan Putus Hubungan Dengan DAP Diketahui Dalam Masa Terdekat

ALOR SETAR - PAS hari ini mengumumkan bahawa keputusan usul muktamar parti itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP yang dipersetujui sebulat suara baru-baru ini akan diketahui dalam masa terdekat.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang turut mengesahkan bahawa PAS akan mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan rakyat bagaimanapun memaklumkan bahawa  mesyuarat pertama AJK PAS Pusat yang berlangsung hari ini tidak membahaskan usul tersebut.

“Jawatankuasa PAS Pusat Sesi 2015-2017 mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“PAS akan mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan rakyat, tetapi ini tidak akan dilakukan pada mesyuarat pertama kita malam ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Takiyuddin berkata, mesyuarat yang akan berlangsung jam 8.30 malam ini akan melantik setiausaha agung, ketua penerangan, bendahari dan semua jawatan yang dilantik.

Muktamar PAS di Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini meluluskan usul tergempar dari Dewan Ulama PAS yang mahu parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP.

Ekoran itu, DAP meminta PAS supaya mengarahkan semula ahlinya yang memegang jawatan kerajaan negeri dibawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng, untuk meletak jawatan kerana tiada lagi kerjasama antara kedua-dua parti tersebut. -Kedahnews.com