"Kerajaan Akan Beri Segala Bantuan Yang Diperlukan" - Mohd Najib


ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa sedih beliau atas berita kehilangan sebuah kapal tangki petrol milik rakyat Malaysia yang dilaporkan berlaku pada Khamis lalu.

Beliau menegaskan bahawa pihak Kerajaan Malaysia akan sedaya upaya menghulurkan bantuan sewajarnya bagi misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan kejadian tersebut.

“Saya sedih dengan berita rampasan sebuah kapal tangki milik rakyat Malaysia. Saya berdoa untuk keselamatan 22 anak-anak kapal di mana 16 daripadanya adalah rakyat Malaysia. Fikiran saya dengan keluarga mereka.

“Kerajaan akan memberi segala bantuan yang diperlukan,” tulis Najib yang dipetik dari laman sosial Facebooknya, hari ini.


Terdahulu laporan menyebut sebuah kapal tangki milik rakyat Malaysia membawa 6,000 tan metrik minyak petrol RON95 dilaporkan hilang di kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Laporan terbaru menjelaskan bahawa operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan ia diteruskan pagi ini meliputi kawasan pencarian seluas 20,000 kilometer persegi.

Pengarah Operasi Wilayah Maritim Selatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Pertama Maritim Ibrahim Mohamad berkata, kawasan pencarian melibatkan Tanjung Penawar hingga ke Mersing seterusnya melangkaui sempadan perairan Malaysia dan negara jiran.

"Kapal MT ORKIM HARMONY sejenis kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa muatan petrol RON95 anggaran 6,000 tan metrik dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

"Laporan kehilangan kapal telah dibuat oleh syarikat kapal tersebut Orkim Ship Management Sdn Bhd pada pukul 6.30 pagi 12 Jun lepas," katanya dalam satu kenyataan,.

Kapal MT ORKIM HARMONY
Katanya terdapat 22 kru berumur antara 20 hingga 64 tahun dalam kapal itu terdiri daripada 16 warganegara Malaysia, lima warganegara Indonesia dan seorang warganegara Myanmar.

Ibrahim berkata, pihaknya turut memanjangkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa Singapura iaitu Singapore Police Coast Guard (SPCG) dan juga pihak berkuasa Indonesia Badan SAR Nasional (BASARNAS) serta Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLARI). Kedahnews.com