Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali |
BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar yakin negeri
tersebut akan kembali diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang, lapor agensi berita Bernama.
Beliau kini Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia
(Mubarak) Selangor membuat jangkaan itu dengan melihat senario politik
di negeri itu yang masih lagi berdepan pelbagai krisis dalam gabungan
pembangkang.
“Mubarak Selangor telah menyatakan kepada Badan Perhubungan UMNO
Selangor bahawa kita akan bantu dalam kempen PRU-14 nanti serta telah
menyediakan jentera yang kuat di setiap peringkat negeri dan semua
bahagian.
“Peluang kini amat cerah dan tidak mustahil berpihak semula kepada
BN untuk menakluk majoriti kerusi yang dipertandingkan di peringkat
Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya yang dipetik portal berita AgendaDaily.
Abu Hassan ialah Menteri Besar Selangor ke-12 selepas Tan Sri
Muhammad Muhd. Taib meletak jawatan pada 1997 sebelum beliau berundur
pada 2000 dengan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Beliau berkata demikian ketika majlis kunjungan dan penyampaian
sumbangan Aidilfitri Perdana Menteri kepada anggota Mubarak yang sakit,
di kediaman bekas wakil rakyat Selangor, Choo Yong Fatt di Bukit Gasing.
Yong Fatt yang juga bekas ADUN Sungai Pelek dan Kuala Kubu Baharu
bersetuju dan berkata bagi mengembalikan kepercayaan serta sokongan padu
rakyat, keutamaan BN perlu menghidupkan semangat parti yang bersatu
teguh.
Bernama melaporkan Mubarak juga menyampaikan sumbangan ihsan
kepada bekas ADUN Paya Jaras, Saidin Thamby, 79 tahun; di kediamannya
di Selayang sebagai meringankan kos pembiayaan rawatan kesihatannya.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang itu terlantar akibat strok yang
dihidapi sejak awal tahun ini serta kini mendapatkan rawatan secara
berkala di Hospital Selayang dan di Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan
Malaysia.
Sumbangan yang disampaikan kepada mereka berupa wang tunai RM2,000
yang merupakan sumbangan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.
Najib Tun Razak dan RM500 daripada Mubarak Selangor serta hamper.
“Ini merupakan program yang sering kita (Mubarak) lakukan sebagai
tanda ingatan kepada kawan-kawan kita yang selama ini sama-sama berbakti
menumpahkan jasa khidmat sebagai wakil rakyat BN,” kata Zaleha Ismail.
“Sesuai moto ‘Terus Berkhidmat’, kita mahu buktikan walau tiada
jawatan dalam kerajaan, kita ada semangat tabur bakti hingga akhir
hayat,” kata bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat
itu.
Isteri Saidin, Maimunah Mohd. Shafie menyambut baik lawatan Mubarak
ke rumahnya disifatkan sebagai tanda kukuh ikatan silaturahim selain
menceriakan suaminya apabila lihat rakan seperjuangan berada di hadapan
mata.
Sementara itu, Abu Hassan berkata walaupun sumbangan itu tidak
seberapa, lawatan Mubarak juga sebagai lambang keprihatinan di samping
mengiktiraf jasa dan bakti anggotanya yang kini terlantar sakit.
“Selain sumbangan, kita juga berdoa agar rakan-rakan kita yang tidak
berapa sihat akan cepat sembuh dan dapat beribadat di bulan mulia ini
serta menyambut Hari Raya Puasa bersama keluarga,” katanya. – Bernama