RANAU – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi penghargaan khas
kepada malim gunung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat
mangsa gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Gunung Kinabalu
pada Jumaat lalu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyifatkan
malim gunung terbabit sebagai ‘unsung heroes’, berkata mereka telah
melakukan kerja yang terbaik.
Ini termasuk menyelamat pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dan
membawa turun mangsa yang tercedera kesan daripada gegaran gempa bumi
itu, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai
bencana tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Menteri Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata
Muhyiddin meminta beliau untuk menyenaraikan malim gunung yang terlibat
secara langsung dalam operasi itu.
Beliau berkata kerajaan akan memberi penghargaan terhadap jasa, usaha dan komitmen mereka dalam membantu pasukan penyelamat.
Kerajaan, katanya, bersetuju menyumbang sebanyak RM1,000 kepada
setiap malim gunung yang terlibat bagi menunjukkan penghargaan atas
keprihatinan mereka.
Sebanyak 250 malim gunung berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu. – BERNAMA