Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) |
KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menaikkan elaun kritikal anggota
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikemukakan kepada
jemaah menteri tidak lama lagi untuk persetujuan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk
Abdul Rahman Dahlan perkara itu wajar bagi memastikan elaun kritikal
anggota bomba ini disetarakan dengan elaun yang diterima pihak
penyelamat lain seperti Tentera, Polis dan Rela.
“Perkara itu kita telah berbincang dengan Ketua Pengarah (Bomba) dan
Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan kewangan,” katanya
ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi
kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab pencelahan Siti Zailah
Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu sama ada kerajaan atau
kementerian berwajib berhasrat menaikkan elaun kritikal bomba yang
berdepan pelbagai cabaran dan halangan ketika menjalankan tugas.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah kenaikan elaun kritikal
tersebut tetapi memaklumkan ia akan memanfaatkan kira-kira 13,000
anggota bomba.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, JBPMM akan memasukkan persediaan
menghadapi bencana gempa bumi dan cara-cara untuk menyelamatkan diri
semasa dan selepas gempa bumi dalam program pendidikan mereka.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan |
Jelasnya, ini kerana skop operasi bomba sekarang bertambah luas dan
melibatkan aktiviti luar jangkaan seperti gempa bumi yang berlaku
baru-baru ini.
Katanya, JBPM juga akan memberikan latihan menyelamat khusus kepada
malim-malim gunung yang berkhidmat di kawasan Gunung Kinabalu
memandangkan mereka adalah responden awal kepada pendaki sekiranya
berlaku sebarang insiden termasuk gempa bumi.
Menurutnya, JBPM turut akan meletakkan peralatan menyelamat yang
bersesuaian di balai berdekatan dan juga di Laban Rata serta di Pejabat
Taman Sabah di kaki Gunung Kinabalu.
Dengan cara ini, malim-malim gunung yang mempunyai banyak pengalaman
dan fasih dengan topografi gunung boleh membantu pada peringkat awal
operasi pencarian dan menyelamat sementara menunggu pasukan penyelamat
tiba,” katanya. – BERNAMA