GEORGE TOWN – Jika betul-betul hendak sangat mencari bangunan dengan
jelas ada ciri-ciri yang langgar peraturan pihak berkuasa tempatan,
memang banyak di sekitar bandar raya ibu negeri Pulau Pinang itu.
Ini belum lagi premis perniagaan dan gerai bukan Melayu yang sengaja
mengganggu kelancaran lalu lintas dan sebagainya termasuk menghalang
langsung jalan tersebut tanpa ada papan tanda rasmi makluman penutup
laluan.
Ironi pada Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari, kawasan
bangunan UMNO Pulau Pinang di Jalan Macalister menjadi ‘mangsa’ sasaran
operasi anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Mereka bertindak meroboh struktur tulisan UMNO di pekarangan Ibu
Pejabat UMNO negeri tersebut sehingga mencetuskan kekecohan apabila
beberapa anggota Pemuda UMNO Pulau Pinang cuba menghalang kerja-kerja
itu.
Setakat ini tidak pasti apakah salah silapnya kerana struktur
perkataan UMNO yang terletak di tepi jalan itu adalah dalam kawasan
tanah milik JKP Sdn. Bhd., syarikat pengurusan bangunan parti berkenaan
sendiri.
Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan kalangan pimpinan UMNO
negeri malah reaksi sama dapat dilihat menerusi komen-komen apabila
kisah berkenaan tersebar pantas dan menjadi viral menerusi laman Facebook.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim
menyifatkan tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP merobohkan
struktur tulisan UMNO di Ibu Pejabat UMNO negeri itu sebagai kurang
ajar.
Beliau bahkan menilai tindakan tersebut seakan satu tindakan
provokasi dan sengaja ‘cari pasal’ ketika umat Islam sedang menunaikan
ibadah puasa hari kedua dalam bulan Ramadan yang mulia, katanya dalam
satu kenyataan.
“Sebenarnya struktur itu memang terletak dalam kawasan tanah JKP Sdn.
Bhd. Apa salahnya bincang dulu dengan pihak pengurusan UMNO sebelum
roboh,” ujarnya yang disiarkan Facebook Pemuda UMNO Pulau Pinang.
Rafizal yang turut berada di tempat tersebut menyaksikan sendiri
‘keganasan’ Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum itu dilihat cuba campur
tangan berunding dengan penguat kuasa MBPP, namun usaha diplomasinya itu
gagal.
Kecewa tindakan ‘sifar’ tolak ansur MBPP, beliau menyelar Ketua
Menteri, Lim Guan Eng sebagai amat zalim sehingga sanggup
‘memperkudakan’ anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan yang
berbangsa Melayu.
“Sememangnya Ketua Menteri takut pada bayang-bayangnya sendiri dan
kerap bermain dengan api,” kata Rafizal dan ramai melihat tindakan itu
secara kebetulan bagi mengalih perhatian ekoran perpecahan parti
pembangkang.
Sementara itu, portal berita AgendaDaily melaporkan, notis
MBPP menyatakan kesalahan UMNO adalah kerana sengaja mendirikan struktur
pembinaan secara haram yang saiznya berukuran lebih kurang 10 x 12
kaki.
Ia sekali gus menyalahi Seksyen 70 undang-undang kecil pihak berkuasa
tempatan itu dan tindakan yang diambil bersifat ‘serta-merta’ dengan
notis ditandatangani Tan Lin Hai, arkitek kanan Jabatan Kawalan Bangunan
MBPP.
Namun, tinjauan menerusi laman sosial menunjukkan, ramai netizen
mempertikaikan tindakan MBPP itu sebagai bersifat politik bagi menyorok
masalah kronik pakatan pembangkang ketika ini. – Agensi