KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM13 bilion
dari tahun 2012 hingga 2015 bagi pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) yang memanfaatkan hampir 7.4 juta rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada tahun ini
sahaja kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion sebagai peruntukan bantuan
itu yang diagihkan mengikutkan pendapatan isi rumah.
“Pada tahun 2015 isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah
yang menerima BR1M adalah 4.1 juta orang dengan jumlah keseluruhan BR1M
ialah RM3.9 bilion.
“Sementara untuk isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 jumlah penerima
ialah 400,010 orang dan jumlah BR1M RM300 juta dan untuk individu bujang
yang berpendapatan RM2,000 ke bawah jumlah penerima ialah 2.7 juta
dengan jumlah bantuan RM947 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Lai Bujang
(BN-Sibuti) yang ingin tahu jumlah penerima BR1M 2015 yang masih tidak
mempunyai akaun simpanan untuk menerima bantuan itu melalui perbankan,
dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad berkata untuk BR1M tahun ini juga, seramai 6.4 juta penerima
telah mengemukakan maklumat akaun dan menerima bantuan mereka terus ke
akaun bank masing-masing, sementara 820,000 penerima masih menerima
bantuan itu melalui baucar.
Beliau menambah, bagi mengurangkan masalah ketirisan dn memastikan
mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan itu, proses
verifikasi dilaksanakan secara menyeluruh setiap tahun dengan semakan
bersama data-data dari pelbagai agensi kerajaan.
Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri,
Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akaun Negara dan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja, katanya. – BERNAMA