Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong |
JOHOR BAHARU – Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang tindakan
kerajaan negeri menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST bagi
perkhidmatan ditawarkan mereka.
Namun, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong, tindakan
berkenaan perlu diteliti kerana ada di antara perkhidmatan berkenaan
turut melibatkan aspek perniagaan atau komersial.
Menurutnya, memandangkan ia hasil Kerajaan Negeri, mereka berhak memutuskan apa yang perlu dilakukan terhadapnya.
“Kita (Kerajaan Persekutuan) telah menasihati mereka (kerajaan
negeri) untuk meneliti perkara itu kerana ada di antaranya turut
membabitkan aktiviti perniagaan seperti pelesenan perniagaan, pembayaran
papan tanda dan sebagainya.
“Kesemua ini adalah pendapatan untuk rakyat, hasil untuk kerajaan
negeri. Jadi apakah mereka perlu membayar GST bagi pihak aktiviti
komersial dan bagaimana mereka perlu mengasingkannya?
“Ini adalah di antara perkara yang perlu diteliti secara terperinci serta masa untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Outreach and Biz Talk’ SME Bank Group di sini, semalam.
Chua menjawab pertanyaan sama ada kerajaan negeri dibenarkan menyerap GST bagi perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan mereka.
Sejak pelaksanaan GST 1 April lepas, ada kerajaan negeri seperti
Johor, Terengganu dan Pulau Pinang yang menyatakan kesediaan untuk
menyerap GST bagi perkhidmatan yang ditawarkan.
Mengulas lanjut, Chua berkata Kementerian Kewangan masih lagi
menunggu butiran terperinci daripada pihak kerajaan negeri berhubung
cara pelaksanaan itu yang dijangka dikemukakan kepada Jabatan Kastam
Diraja Malaysia.
“Saya rasa ia (GST) perlu diteruskan terlebih dahulu untuk tempoh
masa tertentu sebelum sebarang pelarasan dibuat. Ini kerana, pelarasan
ini akan mencetuskan ketidaktentuan atas dasar ad hoc dan seumpamanya.
“Memandangkan ada aktiviti ini berkaitan komersial, apakah ini
bermakna kerajaan negeri mahu melibatkannya? Ini bermakna mereka turut
memberi subsidi kepada perniagaan. Adakah rakyat menyokong perkara itu?
Kita sendiri pun tidakpasti,” katanya.
Sementara itu, Chua berkata kerajaan terus menerima cadangan daripada
badan bukan kerajaan serta persatuan perniagaan bagi meningkatkan
pelaksanaan GST.
“Ia memerlukan pendekatan langkah demi langkah. Sebarang perubahan
drastik dalam tempoh sekarang boleh mencetuskan kekeliruan. Pada masa
ini, senarai kita adalah yang terpanjang dari segi pengecualian atau
berkadar sifar,” katanya.
Chua menjelaskan, keutamaan kerajaan bagi pelaksanaan cukai itu
adalah untuk meminimumkan kekangan terhadap perniagaan, kekeliruan
pengguna serta meminimumkan perbuatan salah laku input cukai. – BERNAMA