Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar |
CYBERJAYA – Kerajaan mensasarkan sebanyak 75 peratus daripada jumlah
keseluruhan graduan di institut pengajian tinggi awam dan swasta,
berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan
pengajian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
berkata, unjuran tersebut adalah sejajar dengan sasaran status negara
maju berpendapatan tinggi sebagaimana terkandung di bawah pelaksanaan
Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, Mei lalu.
“Sebab itu kerajaan melaksanakan pelbagai program intervensi seperti
Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran
Siswazah (GEMS) oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) agar
graduan dilatih untuk mendapat pekerjaaan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sesi Ramah
Mesra Peserta Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) 2015 di Dewan Tun Canselor
Multimedia Universiti (MMU) di sini malam tadi.
Turut hadir Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Muhamad Rasat Muhamad.
Pada majlis itu seramai 217 peserta SL1M dari pelbagai universiti
diraikan kerana mengikuti program anjuran MMU mulai 10 Mei lalu hingga 3
Julai ini.
Pada 21 Mei lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan RMK-11 di
Dewan Rakyat yang bertemakan Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat. RMK-11
merupakan pelan pembangunan terakhir sebelum Malaysia mencapai status
negara maju pada 2020.
Abdul Wahid berkata, kerajaan menyedari peluang untuk mendapatkan
pekerjaan menjadi lebih mencabar berikutan keputusan meningkatkan had
umur persaraan bagi kakitangan awam sejak 2013.
Bagaimanapun, pelbagai peluang pekerjaan yang akan diwujudkan
menerusi RMK-11 mampu membantu para graduan memasuki alam pekerjaan
dalam tempoh lima tahun rancangan negara tersebut.
Sementara itu, beliau menasihatkan para graduan agar sentiasa
meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran walaupun sudah menamatkan
pengajian, menjaga hubungan keluarga khususnya ibu bapa dan mencari
pasangan hidup yang sesuai untuk memastikan kecemerlangan sepanjang
hidup.
Dalam pada itu, Muhamad Rasat berkata, program itu adalah penganjuran
buat kali keenam oleh MMU yang merupakan universiti swasta milik penuh
TM.
Di bawah inisiatif ini, katanya, MMU telah dilibatkan untuk tujuan
latihan para peserta sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab
Sosial Korporat Telekom Malaysia (TM).
“Sebelum ini ia telah membantu 5 kumpulan graduan menganggur untuk
berjaya mendapatkan pekerjaan. Ada sebahagian mereka yang diambil
khidmat di Telekom Malaysia sendiri manakala peserta lain telah berjaya
mendapat pekerjaan di syarikat lain selepas tamat program,” jelasnya.