Kes Fitnah PM: Bantahan Awal Nizar Didengar Esok

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan esok untuk mendengar bantahan awal yang dikemukakan pihak pembelaan dalam kes fitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiga tahun lepas.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim.

Terdahulu, Mohd Yusof memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar atas alasan perdana menteri tidak menunjukkan minat dalam kes itu berikutan kegagalan beliau hadir ke prosiding hari ini.

Bagaimanapun, Yusaini Amer berkata Najib tidak perlu hadir ke mahkamah kerana pendakwaan akan mengemukakan saksi yang boleh membuktikan pertuduhan terhadap Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Mohammad Nizar, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Mohd Yusof berhubung isu pengadu dalam kes itu.

Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa sebenarnya yang membuat aduan.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu didakwa semula atas pertuduhan sama pada 30 Jan lepas. – BERNAMA