ALOR SETAR – Polis sedang menyiasat siapa sebenarnya ‘Yassin’ yang
dikatakan menjadi ejen besar sindiket pemerdagangan manusia, menurut
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
Beliau berkata, Yassin merupakan satu nama besar dan dipercayai
terlibat secara langsung ‘membeli’ mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan
manusia ini.
Zamri berkata, polis sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti identiti Yassin.
Baru-baru ini Bernama melaporkan pihak berkuasa menemui kem-kem
transit di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai diguna untuk
menempatkan mangsa-mangsa jenayah tersebut.
Mengulas mengenai isu sempadan negara yang mudah dibolosi, beliau
berkata, pihaknya sudahpun mengeluarkan arahan kepada mereka yang
bertugas di sempadan untuk mengetatkan kawalan.
“Namun mungkin ada ketidakpatuhan pada arahan, kita akan ambil
tindakan tegas kepada sesiapa yang ingkar pada arahan,” katanya. –
BERNAMA